Jumaat, 17 Mei 2019 | 3:12pm
YANG Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud (kiri) bersama Pengarah Urusan, Revotech Electrical Sdn Bhd, Khairul Azahar Shafie (kanan) selepas Majlis menandatangani Non Disclosure Agreement (NDA) antara MPSP dan Revotech Electrical Sdn Bhd sambil diperhati EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo di Dewan Kenanga, Menara MPSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam. - Foto Rosli Ahmad

MPSP berstatus bandar raya tidak lama lagi

BUKIT MERTAJAM: Permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapat status bandar raya bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dibentangkan kepada Kabinet, minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata kerajaan negeri kini sedang menunggu keputusan sama ada MPSP dapat dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atau sebaliknya.

“Kita yakin akan ada keputusan positif kerana kriteria diperlukan bagi sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjadi bandar raya sudah dipenuhi MPSP seperti dari segi kepadatan penduduk, jaringan pengangkutan komprehensif dan prasarana untuk kemudahan penduduk.

“Pelbagai anugerah berprestij yang dimenangi MPSP dijangka menjadi pengukur untuk membolehkan dinaiktaraf kepada status bandar raya dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media mengumumkan Status Permohonan Menaik Taraf MPSP kepada MBSP di sini, hari ini.

Kerajaan negeri menghantar permohonan untuk menaik taraf status MPSP kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember lalu.

Jadgeep berkata, MPSP sebelum ini berdepan kesukaran untuk dinaik taraf sebagai bandar raya berikutan syarat terdahulu menetapkan setiap negeri hanya satu sahaja PBT boleh mendapat status berkenaan.

“Memandangkan Pulau Pinang mempunyai dua PBT dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2015, ia menyukarkan MPSP untuk mendapat status sama.

“Sebenarnya syarat itu tidak tepat kerana ada negeri yang memperoleh lebih daripada satu status bandar raya, apatah lagi MPSP memenuhi semua kriteria ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, jika MPSP dinaik taraf sebagai bandar raya, pelbagai inisiatif akan diambil bagi merancakkan pembangunan di Seberang Perai, antaranya dengan menyasarkan untuk menjadi sebuah bandar raya rendah karbon dan pintar.

“Ia hala tuju kita apabila mendapat status itu kelak, selain dalam usaha menyediakan kemudahan dan pembangunan di bandar serta mampu mengawal pelepasan gas rumah hijau di bawah paras global,” katanya.

Berita Harian X