Selasa, 14 Mei 2019 | 8:33pm
OMAR Ismail (kanan) melawat gerai bazar pada Operasi Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kedah di Bazar Ramadan Alor Setar di Perkarangan Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Jangan ambil kesempatan naikkan harga daging lembu

ALOR SETAR: Peniaga daging lembu tempatan, khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bahan mentah itu menjelang Aidilfitri.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Omar Ismail berkata, kenaikan harga daging tempatan sering berlaku pada musim perayaan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini harga daging tempatan masih terkawal dan belum melebihi RM34 sekilogram.

“Ada peniaga yang menjalankan perniagaan menjual daging tempatan semasa musim perayaan sahaja. Ada antara mereka ini yang mengambil kesempatan menaikan harga jualan yang lebih mahal dari sepatutnya kerana mereka tahu permintaan berganda.

“Walaupun kerajaan belum menetapkan harga siling daging tempatan, namun ini tidak bermakna mereka boleh sesuka hati main harga, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu KPDNHEP bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Kedah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Omar berkata, pengguna juga harus mengetahui hak mereka dan dinasihatkan membeli barang di gerai yang meletakkan tanda harga.

Katanya, jika melihat harga sesuatu barang terlalu tinggi, maka pengguna berhak melakukan tawar menawar dan boleh membuat aduan kepada pihak KPDNHEP jika tawaran harga tidak munasabah.

“Sejak hari pertama berpuasa sehingga hari ini, pihak kami belum menerima sebarang aduan mengenai harga yang melampau di bazar Ramadan.

“Dalam tinjauan kita, hanya sedikit saja barang yang dinaikan harga berikutan kenaikan harga bahan mentah, namun ia masih terkawal,” katanya.

Berita Harian X