Selasa, 14 Mei 2019 | 1:54pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg hadir pada Majlis Pelancaran Produk Warisan Kampung di Pasar Raya Mydin Petra Jaya, semalam. - Foto Hazreen Mohamad
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg hadir pada Majlis Pelancaran Produk Warisan Kampung di Pasar Raya Mydin Petra Jaya, semalam. - Foto Hazreen Mohamad

Ketengahkan produk warisan Sarawak ke pasaran meluas

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak bersedia memberi sokongan terhadap usaha membangun dan memperkenalkan produk warisan Bumi Kenyalang untuk pasaran di seluruh negara, termasuk melalui kerjasama dengan pengusaha pasar raya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata Sarawak memiliki banyak produk warisan yang menarik dan berpotensi diketengahkan ke pasaran meluas.

Antara lain, beliau berkata, acar limau yang biasanya hanya boleh dinikmati ketika kenduri perkahwinan, selain pelbagai kuih-muih tradisional seperti kuih hati pari dan kuih cincin.

“Kita mesti memperkenalkan produk warisan dari kampung dengan cara baharu untuk pemasaran.

“Jika produk ini dapat dibangunkan dan memiliki nilai tinggi, sudah pasti ia boleh dipasarkan hingga ke Semenanjung Malaysia, bahkan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Produk Warisan Kampung di Pasar Raya Mydin Petra Jaya, di sini, semalam.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datuk Amar Jumaani Tuanku Bujang; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Sabariah Putit; Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi; dan Pengurus Projek Mydin, Ganesh Chinniah.

Abang Johari berkata, usaha membangunkan produk warisan Sarawak secara tidak langsung akan turut membantu menjana pendapatan tambahan penduduk kampung.

Justeru, beliau memuji inisiatif Old Kuching Smart Heritage, UNIMAS, Biro Ekonomi Satok dan Mydin dalam membangunkan produk warisan Sarawak.

“Dengan kerjasama dijalinkan semua pihak berkenaan, termasuk Mydin, kita berharap pemasaran produk warisan yang dibangunkan dapat diperluas hingga ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sebagai permulaan, sebanyak 12 produk warisan daripada sembilan pengusaha akan dipasarkan melalui Pasar Raya Mydin.

Produk berkenaan ialah bumbu pedas, kacang bersalut, acar limau, kuih sepit asli, kuih sepit berinti kacang, kuih sepit berinti coklat, kek hati pari, kek buah, sambal tumis ikan bilis, petis buah, kuih cincin dan rempah masak hitam.

Berita Harian X