Selasa, 14 Mei 2019 | 10:00am
Bekalan air di semua kawasan di Klang yang menjejaskan hampir 800,000 pengguna sejak 4 Mei lalu, pulih sepenuhnya, pagi ini. - NSTP/Faliq Lajim
Bekalan air di semua kawasan di Klang yang menjejaskan hampir 800,000 pengguna sejak 4 Mei lalu, pulih sepenuhnya, pagi ini. - NSTP/Faliq Lajim

Bekalan air di Klang pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua kawasan di Klang yang menjejaskan hampir 800,000 pengguna sejak 4 Mei lalu, pulih sepenuhnya, pagi ini.

Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di bandar itu berikutan insiden tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata bekalan air lewat dipulihkan daripada jadual asal berpunca pergerakan tanah dan kebocoran di lokasi lain meliputi jajaran paip berkenaan.

Katanya, ini menyebabkan kerja pembaikan perlu dilaksanakan berhati-hati berikutan tapak berkenaan berisiko tinggi, bagi mengelak perkara tidak diingini kepada pekerja dan aset di tapak pembaikan.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air yang dijadualkan tersasar dan tertunda beberapa kali.

“Bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas, pihak kami mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan melalui sistem bekalan alternatif dan melaksanakan kerja pemasangan dan pengalihan jajaran paip baharu yang siap sepenuhnya, petang semalam.

“Kami memohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan tidak dapat menepati sasaran awal jadual kerja pembaikan dan tempoh pemulihan bekalan yang disasarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 160,000 akaun membabitkan hampir 800,000 pengguna di Klang terjejas selepas tiga paip utama pecah berhampiran projek lebuh raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping di jajaran berdekatan dengan Meru, pada tengah malam 4 Mei lalu.

Abdul Raof berkata, pihaknya berterima kasih kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang memberikan kerjasama serta panduan sehingga gangguan bekalan air pulih sepenuhnya.

“Tidak ketinggalan, sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor, wakil rakyat, persatuan penduduk dan semua pihak yang terbabit secara langsung dalam operasi pemulihan bekalan air,” katanya.

Berita Harian X