Isnin, 13 Mei 2019 | 5:00pm
Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri. - FB Chow Kon Yeow
Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri. - FB Chow Kon Yeow

Bantuan khas Aidilfitri untuk kakitangan awam Pulau Pinang

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam agensi negeri itu sempena sambutan Aidilfitri sebanyak separuh gaji atau minimum RM1,000.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, ketika mengumumkan perkara itu berkata bayaran itu akan membabitkan 3,905 kakitangan kerajaan negeri yang mana jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM5.27 juta.

Beliau berkata bayaran itu bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup kakitangan kerajaan untuk membuat persediaan Aidilfitri.

Beliau ditemui pada pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus.

Sementara itu, Farizan berkata, kerajaan negeri sasarkan untuk mengurangkan lima peratus daripada jumlah keseluruhan 9,504 penjawat awam di Pulau Pinang secara berfasa, mulai tahun ini hingga 2021.

Katanya, proses pengurangan itu membabitkan satu peratus pada tahun ini, manakala masing-masing dua peratus pada 2020 dan 2021 dengan proses dilakukan mengikut dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam (KSPA) yang diperkenal sejak tahun 2015.

Katanya, pelaksanaan KSPA akan dibuat mengikut kaedah pemansuhan jawatan jumud; Jawatan Perubahan Sementara Skim (JSPS) dan jawatan tak diisi melebihi tempoh dua tahun.

Ia tidak akan membabitkan pemberhentian penjawat awam yang sedang berkhidmat.

“Kita juga melihat kepada kajian pertindihan dan serah urus fungsi; penyampaian perkhidmatan alternatif; penswastaan; pengasingan sepenuhnya badan berkanun, automasi dan pengisian jawatan baharu secara berhemah bagi pelan jangka panjang.

“Kita fokus (untuk mengurangkan) kakitangan yang berjawatan tetap terlebih dahulu khususnya mereka yang mempunyai masalah disiplin.

“Sehingga April lalu, sebanyak 25 kes tatatertib direkodkan membabitkan kes tidak hadir tugas, dadah, sijil cuti sakit palsu dan lain-lain dengan 16 penjawat awam yang melakukan pelanggaran ini sudah dibuang kerja,” katanya.

Berita Harian X