Sabtu, 11 Mei 2019 | 1:53pm
ZURAIDA (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara ( DPMMN) di Elniza Central Park, U16. Turut kelihatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin Shah (dua dari kanan), Timbalan Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, Amirudin Shari (dua dari kiri) serta Pengerusi Permodalan Nasional Berhad dan Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (kanan). - Foto Roslin Mat Tahir
ZURAIDA (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara ( DPMMN) di Elniza Central Park, U16. Turut kelihatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin Shah (dua dari kanan), Timbalan Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, Amirudin Shari (dua dari kiri) serta Pengerusi Permodalan Nasional Berhad dan Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (kanan). - Foto Roslin Mat Tahir

Selangor tuntut kos ganti rugi paip pecah

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menuntut kos ganti rugi terhadap pemaju projek pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping susulan kejadian paip pecah hingga mengakibatkan bekalan air terjejas.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata pihaknya kini sedang membuat penilaian kos yang sudah ditanggung bagi mengatasi masalah itu.

“Sepanjang berlaku masalah gangguan bekalan air, kerajaan negeri menerusi Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) memberikan keutamaan bagi memastikan bekalan air pulih.

“Malangnya berlaku kemalangan kecil menyebabkan kebocoran semula dan kita tiada keupayaan selain membetulkannya.

“Sekarang kerajaan negeri sedang membuat penilaian kos dan bersedia menuntut daripada pihak pemaju yang mengakibatkan bekalan air ini terputus selama beberapa hari,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Berkenaan perkembangan air di Klang, Amirudin berkata, tahap pemulihan bekalan air mencapai tahap 91.5 peratus pada pagi tadi.

Katanya, pengagihan air kini tertumpu kepada lapan hingga sembilan peratus kawasan yang masih belum menerima bekalan air seperti biasa.

Mengulas lanjut berkenaan rungutan penduduk yang tidak mendapat bekalan air, Amirudin berkata, pengagihan air kepada penduduk terjejas dilakukan secara berkala oleh Pusat Khidmat Setempat dan Air Selangor.

“Hendak mendapatkan bekalan air seperti biasa mungkin tiada tetapi dalam keadaan bencana, kita terpaksa agihkan secara berperingkat.

“Mereka (penduduk terjejas) sentiasa berhubung dengan saya secara langsung melalui media sosial selain Air Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Kita sedaya mungkin memenuhi permintaan mereka berhubung bekalan air ini,” katanya.

Masalah bekalan air di Wilayah Klang berlaku sejak Ahad lalu selepas tiga paip utama kendalian Air Selangor pecah di projek pembinaan Lebuhraya WCE Banting-Taiping.

Berikutan itu, ia menyebabkan bekalan gangguan air terhadap 160,000 akaun atau hampir 800,000 pengguna di Klang.

Berita Harian X