Jumaat, 10 Mei 2019 | 4:14pm
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji. - Foto Malai Rosmah Tuah
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji. - Foto Malai Rosmah Tuah

Gatok giat diburu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai ketua kumpulan penjenayah yang aktif mencuri kereta dan motosikal di sekitar daerah ini sedang giat diburu pihak berkuasa.

Suspek utama terbabit, Arthur Julian Abit atau lebih dikenali sebagai ‘Gatok’ dipercayai perancang utama kumpulan berkenaan yang akan bertindak melupuskan semua kenderaan yang dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Asisten Komisioner, Habibi Majinji, berkata maklumat itu diperoleh hasil tangkapan tiga ahli kumpulan itu dalam serbuan berasingan di kawasan Kampung Air, Kampung Pengesahan, Inanam dan Jalan Tuaran Bypass.

Katanya, tiga ahli ‘Geng Gatok’ yang ditahan itu membabitkan seorang rakyat tempatan berusia 39 tahun dan dua warga asing masing-masing berusia 20 tahun.

“Hasil soal siasat, polis sudah mendapat maklumat mengenai Gatok dan usaha memburunya sedang giat dijalankan. Setakat ini polis percaya suspek masih berada di sekitar daerah Kota Kinabalu.

“Hasil serbuan, polis berjaya merampas semula motosikal jenis Honda EX5 dan Demak yang dilaporkan hilang pada bulan April lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, soal siasat juga mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dengan lima kes curi motosikal dan empat kes curi kereta sejak hujung tahun lalu.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Pemeriksan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau atsa kesalahan penyalahgunaan dadah dan curi kenderaan sejak tahun 2011,” katanya.

Berita Harian X