Selasa, 7 Mei 2019 | 5:27pm
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) bersama pelajar yang mendapat Anugerah Emas Yayasan Terenggau Tahun 2019 (Kali ke 40) dan Hadiah kecemerlangan SPM,STPM dan STAM 2018 semasa sesi bergambar di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) Tahun 2019 Kali Ke-40 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM Tahun 2018 anjuran Yayasan Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terenggan. - Foto Imran Makhzan

Kerajaan Arab Saudi taja pelajar Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Arab Saudi menawarkan tajaan biasiswa kepada 100 pelajar negeri ini untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di lapan universiti terpilih di negara berkenaan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata daripada 100 tempat yang disediakan, 40 sudah diisi dengan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang utama termasuk pengajian Islam.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi mahu lebih ramai pelajar negeri ini memohon dalam bidang kejuruteraan terutama minyak dan gas.

“Tawaran itu diberikan kerajaan Arab Saudi ketika Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Arab Saudi baru-baru ini.

“Mereka menawarkan tajaan biasiswa penuh kepada pelajar kita yang berkelayakan dan berminat untuk melanjutkan pengajian di sana dan keutamaan diberikan kepada bidang kejuruteraan serta minyak dan gas.

“Industri minyak dan gas sangat besar di Arab Saudi dan peluang ini tidak patut dilepaskan kerana pelajar kita juga boleh mengikuti latihan industri di sana. Justeru mereka yang layak dan berminat terutama dari bidang kejuruteraan dan minyak dan gas masih boleh membuat permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) 2019 (Ke-40) dan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussein.

Ahmad Samsuri berkata, pelajar berkenaan akan dihantar melanjutkan pengajian di universiti di Madinah, Riyadh dan Jeddah bagi sesi pengambilan September depan.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 493 penerima anugerah menerima insentif sebanyak RM248,700 sebagai penghargaan kerajaan negeri melalui YT dalam menghargai dan mengiktiraf setiap usaha pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik.

Pelajar terbaik SPM 2018, Muhammad Hilman Nor Azmi, 18, dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu dan Amirah Husna Abdul Kahar, 18, dari SM Sains Sultan Mahmud dinobatkan penerima Anugerah Pingat Emas YT, sekaligus menerima wang tunai RM4,000, sehelai blazer, satu unit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Dua pelajar kelainan upaya yang cemerlang dalam SPM 2018, Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri dari SM Kebangsaan (SMK) Kuala Abang, Dungun, dan Nur Hazwani Hussain dari SMK Nasiruddin Shah, Besut pula menerima Anugerah Khas YT 2019 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sehelai blazer, satu unit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2018 diberikan kepada Nur Syahidah Hassan dari SM Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dan Muhammad Shahidan Wahab (SMK Bukit Sawa) manakala Pelajar Terbaik STAM 2018 ialah Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi dan Nik Karimah Nik Abdul Ghafar.

Berita Harian X