Isnin, 6 Mei 2019 | 2:05pm
WAN HASHIM atau lebih dikenali sebagai Pak Wan membuat persiapan bagi mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menjadikannya warga emas pertama mengayuh basikal secara solo terpantas mengelilingi Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand membabitkan jarak 2,200 kilometer (km) selama 15 sehingga 20 hari ketika ditemui selepas sidang media di sini. - Foto Zaman Huri Isa

Pak Wan mahu cipta rekod kali kelima dalam MBOR

KOTA BHARU: Pengayuh basikal warga emas yang sudah empat kali mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR), Wan Hashim Wan Mahmood, 73, bakal melakukan misi kayuhan solo membabitkan jarak 2,200 kilometer (km), bulan depan.

Wan Hashim yang mencatat rekod dalam MBOR sebagai Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia pada 2014, 2016, 2017 dan 2018, memasang impian muncul sebagai warga emas mengayuh basikal secara solo terpantas di negara ini.

Sehubungan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Wan, menyasarkan untuk mengayuh mengelilingi Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand dalam tempoh 15 hingga 20 hari.

PAK WAN menunjukkan kepada Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Azran Fitri Abdul Rahim (kiri) sijil Malaysia Book of Records (MBOR) yang telah diperolehinya. - Foto Zaman Huri Isa
PAK WAN menunjukkan kepada Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Azran Fitri Abdul Rahim (kiri) sijil Malaysia Book of Records (MBOR) yang telah diperolehinya. - Foto Zaman Huri Isa

Bapa kepada enam anak, 20 cucu dan seorang cicit itu berkata, mengikut perancangan, beliau akan memulakan kayuhan dari Kelantan pada 22 Jun depan dan tiba semula di negeri ini pada awal Julai.

“Saya akan bertolak dari Kelantan menuju ke selatan Thailand dan masuk semula ke negara ini melalui Padang Besar, Perlis, untuk meneruskan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia.

“Lazimnya untuk jarak lebih 2,000km, ia memerlukan masa hingga 30 hari tetapi saya akan cuba untuk melakukannya dalam tempoh 15 hingga 20 hari.

“Bagi mencapai matlamat itu, setiap hari saya ‘wajib’ berkayuh sejauh 150km dalam tempoh 12 jam,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Azran Fitri Abdul Rahim.

Wan Hashim berkata, bagi ekspedisi solo kali ini, beliau turut membuat sedikit kelainan menjalinkan kerjasama dengan KEMUDI.

“Di setiap tempat dilalui, saya akan mengedarkan risalah mengajak orang ramai mendapatkan berita daripada saluran yang betul,” katanya.

Bagi merealisasikan misi kali ini, beliau berkata, pelbagai persiapan rapi sudah dibuat, termasuk memastikan mental dan fizikalnya sentiasa kekal cergas.

“Setiap hari, saya bangun seawal jam 4 pagi. Selepas sarapan dan solat subuh, saya akan berkayuh hingga 70km. Pada Ramadan ini, saya menukar jadual dengan keluar berkayuh selepas solat tarawih.

“Pada masa sama, saya turut menjaga pemakanan dengan mengelakkan makanan berminyak dan banyak meminum air kosong,” katanya.

Berita Harian X