Jumaat, 3 Mei 2019 | 2:45pm

Unit rumah tak terjual di Pulau Pinang menurun

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya mencatatkan penurunan bilangan rumah tidak terjual, berbanding beberapa bandar utama lain.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata angka itu berdasarkan statistik Pusat Maklumat Hartanah Negara yang dilaporkan BH, kelmarin.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya yakin untuk terus mencatatkan penurunan bilangan rumah tidak terjual di Pulau Pinang, pada masa hadapan.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa laporan ini menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan penurunan dalam unit hartanah tidak terjual, iaitu sebanyak 3,502 unit pada 2018, berbanding 3,916 unit (2017).

“Ini menunjukkan pelaburan hartanah di Pulau Pinang tidak akan mengecewakan, selain menyeru semua pihak untuk menjadikan perumahan di negeri ini sebagai antara skop pelaburan yang perlu dipertimbangkan.

“Kita tak hanya menyeru rakyat di negeri ini, sebaliknya terbuka kepada semua termasuk pelabur asing untuk terus melabur dalam pasaran hartanah di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kelmarin, BH melaporkan, sebanyak 32,313 rumah siap dibina bernilai RM19.86 bilion tidak terjual pada 2018, meningkat 30.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia tertumpu di Perak, sebanyak 2,905 unit dan Kuala Lumpur (2,692 unit) dengan rumah berstrata membentuk sebahagian besar unit tidak terjual yang mewakili 43.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, permohonan kerajaan negeri untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada majlis bandar raya dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, bulan ini.

Beliau berkata, ia susulan permohonan berkenaan sudah pun diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin.

“Permohonan ini telah disahkan menteri dan beliau nyatakan sememangnya semua keperluan atau kriteria diperlukan untuk sesuatu majlis dinaik taraf kepada bandar raya telah pun dipatuhi.

“Saya dimaklumkan mungkin ia dibentangkan kepada Kabinet, bulan ini. Bagaimanapun, berharap ia dibentangkan secepat mungkin untuk dipertimbangkan, jika tidak sempat dalam bulan depan,” katanya.

JAGDEEP Singh Deo. - Foto Danial Saad
Berita Harian X