Jumaat, 3 Mei 2019 | 2:41pm
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) melancarkan Karnival Pendidikan dan Kerjaya pada majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-30 hari ini. Turut sama Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob (kanan) dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Datuk Mohd Zakaria. - Foto BERNAMA

Yayasan Sabah perlu perkukuh kewangan bantu rakyat

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah diminta membantu kerajaan dengan memperkukuhkan sumber kewangan bagi meningkatkan sektor pendidikan dan kesihatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini kerana pendidikan dan kesihatan rakyat antara perkara yang menjadi keutamaan kerajaan.

“Oleh itu, saya meminta Yayasan Sabah mengurus agensi itu dengan baik, jangan ada unsur rasuah atau ketirisan. Ini bagi memastikan kita dapat membantu rakyat dalam aspek pendidikan dan kesihatan terutama yang miskin serta tidak berkemampuan di negeri ini.

“Saya mahu Yayasan Sabah menjadi satu agensi yang berjaya dengan berusaha memperkukuhkan sumber kewangan sejajar dengan hasrat kerajaan baharu yang mahu Yayasan Sabah mempunyai kewangan yang mencukupi.

“Dengan ini kita mampu menghantar atau membantu lebih ramai rakyat Sabah meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi. Disebabkan itu juga kerajaan negeri baru-baru ini memutuskan beberapa konsesi kayu balak dikembalikan kepada Yayasan Sabah untuk meningkatkan hasil yayasan berkenaan,” katanya.


Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama para pelajar yang mendapat tajaan biasiswa pada majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-30 hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Ke-30 dan pelancaran Karnival Pendidikan dan Kerjaya negeri Sabah di Auditorium Tun Ahmad Raffae di Menara Tun Mustapha di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sijil Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah kepada 40 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

Terdahulu, Yusof berharap orang ramai khususnya lepasan sekolah mengambil peluang mengunjungi karnival pendidikan yang bermula hari ini hingga 5 Mei.

“Karnival dengan kerjasama Yayasan Sabah ini untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar dan belia mengenai peluang dalam pendidikan serta kerjaya.

“Pelbagai program dianjur, malah lebih 180 gerai termasuk gerai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta agensi kerajaan dan swasta menyertai karnival berkenaan,” katanya.

Berita Harian X