Khamis, 2 Mei 2019 | 5:16pm
ORANG ramai memilih pakaian pada program pasar percuma yang diadakan diperkarangan Pejabat Khidmat DUN Sungai Lui. - Foto Abnor Hamizam

3,000 pakaian disumbangkan melalui program pasar percuma

JEMPOL: Lebih 3,000 pakaian baharu dan terpakai disumbangkan kepada golongan memerlukan melalui program pasar percuma di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, di sini, hari ini.

Ibu tunggal dari Rumah Rakyat Air Hitam, Norini Nordin, 51, menyifatkan program amal berkenaan sebagai antara pendekatan terbaik berbanding kaedah pengagihan dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, ini kerana orang ramai boleh memilih sendiri pelbagai jenis pakaian seperti baju kurang, baju, seluar dan tudung yang dikehendaki sahaja, sekali gus mengelakkan pembaziran.

“Di sini, kami dapat memilih sendiri pakaian yang sesuai, justeru tidak timbul masalah seperti salah saiz apabila sumbangan dihantar ke rumah.

“Pakaian disumbangkan melalui program ini juga dalam keadaan elok, malah ada yang masih baharu. Oleh itu, dapatlah mencari yang berkenan,” katanya ketika ditemui.

Mohd Shuib Salleh, 32, dari FELDA Pasoh Tiga, berkata beliau datang bersama ibu bapanya selepas mengetahui penganjuran program itu menerusi aplikasi WhatsApp, dan berjaya mendapatkan beberapa helai pakaian bersesuaian.

“Terima kasih kepada orang ramai menyumbangkan pakaian ini yang masih elok, malah saya terkejut apabila melihat ada juga pakaian buatan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Sahar Abidin Khalid, 56, dari Bandar Seri Jempol, berkata program berkenaan dapat membantu meringankan beban rakyat dan perlu diteruskan pada masa depan.

“Ada juga pakaian sesuai yang boleh dimanfaat oleh jiran memerlukan, justeru saya tolong membawa pulang sekali untuk mereka,” katanya.

Program pasar percuma itu dianjurkan oleh Wanita UMNO Bahagian Jelebu dan Pertubuhan Kebajikan Wanita DUN Sungai Lui bertujuan membantu mereka yang memerlukan.

Berita Harian X