Rabu, 1 Mei 2019 | 4:52pm
PASUKAN Polis Marin telah berjaya dan mengesan serta menahan dua buah bot pom pom di Laut Selat Rawa, Pulau Ketam, Selangor yang syaki sedang dalam perjalanan keluar dari perairan Malaysia. - Foto ihsan PPM
PASUKAN Polis Marin telah berjaya dan mengesan serta menahan dua buah bot pom pom di Laut Selat Rawa, Pulau Ketam, Selangor yang syaki sedang dalam perjalanan keluar dari perairan Malaysia. - Foto ihsan PPM

Warga asing tidak sempat pulang sambut puasa

PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang berjaya mematahkan cubaan dua bot pom-pom yang dipercayai cuba menyusup keluar di Laut Selat Rawa, Pulau Ketam, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota PPM yang menggunakan tiga bot ronda PPM berjaya mengesan serta menahan dua bot pom-pom yang membawa 30 warga Indonesia.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Kamal, berkata pemeriksaan mendapati semua mereka cuba pulang menyambut Ramadan dan Aidilfitri menerusi laluan yang tidak diwartakan.

“PPM mendapati 14 lelaki dan tujuh perempuan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah, manakala lapan lelaki dan seorang perempuan memiliki pasport tetapi tinggal lebih masa di Malaysia.

“Semua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 61 tahun. PPM turut menahan dua lelaki disyaki tekong bot dan lima lelaki disyaki awak-awak bot,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Khairuddin berkata semua yang ditahan dan bot pom pom dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) kerana menjalankan penyeludupan migran.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959/60 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/60 kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas dua buah bot pom-pom bernilai RM45,000, tujuh telefon bimbit, mata wang Malaysia sebanyak RM 1,540 dan mata wang Indonesia sebanyak Rp2.2 juta atau RM636,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, PPM Pelabuhan Klang merekodkan sebanyak 34 kes dengan 167 individu ditahan di bawah Akta Imigresen sepanjang Januari hingga April tahun ini.

“Ia menunjukkan peningkatan berbanding 24 kes dengan 94 individu ditahan pada Januari hingga April 2018.

“Bagi tangkapan di bawah Akta ATIPSOM, tiga kes direkodkan pada Januari hingga April tahun ini membabitkan penahanan tiga tekong darat serta lima awak-awak, manakala tiga kes direkodkan dalam tempoh sama pada 2018 membabitkan penahanan seorang tekong bot, dua awak-awak dan dua tekong darat, ” katanya.

Beliau berkata, PPM akan terus mempertingkatkan pengumpulan maklumat dan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani kegiatan penyeludupan migran di perairan negara.

Berita Harian X