Rabu, 1 Mei 2019 | 4:36pm
MASJID As Salihin menyediakan pakaian percuma hasil sumbangan daripada jemaah masjid dan penduduk setempat. - Foto Nazri Abu bakar

Masjid sedia pakaian percuma

MELAKA: Masjid As Salihin, Kampung Paya Rumput, di sini, bagaikan sebuah ‘pasar raya’ apabila pelbagai jenis pakaian termasuk baju kurung dan moden terpakai sedia dibawa pulang secara percuma.

Sumbangan daripada jemaah masjid dan penduduk setempat itu bukan saja membolehkan golongan asnaf, malah sesiapa saja yang berminat mengambil pakaian terpakai berkenaan untuk kegunaan seharian.

Pengerusi Masjid As Salihin, Khalil Ahmad, berkata semua pakaian berkenaan disusun di tempat khas seperti di pasar raya bagi membolehkan orang ramai mengambilnya mengikut pilihan masing-masing.

Katanya, kebanyakan pakaian termasuk kemeja, seluar kanak-kanak dan dewasa, kain, sejadah serta telekung masih baharu serta selesa digunakan.

“Kami menganjurkan program amal ini selama dua hari sehingga esok dan terbuka kepada mana-mana individu termasuk luar kariah untuk sama menyumbang pakaian.

“Tiada bayaran dikenakan untuk mereka mengambil pakaian ini untuk kegunaan sendiri mahupun keluarga,” katanya.

Setiausaha Masjid As Salihin, Roslan Yahya, pula berkata, program itu antara lain memberi tumpuan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan kurang berkemampuan bagi menyambut Ramadan ini.

“Program ini sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada kumpulan yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban penduduk,” katanya.

Berita Harian X