Selasa, 30 April 2019 | 3:07pm
TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong merasmikan majlis pelepasan benih ikan dan udang galah di Sungai Marang, dekat Kampung Pengkalan Berangan, Marang. - Foto Rozainah Zakaria

240,000 benih ikan, udang galah dilepas ke Sungai Marang

MARANG: Sebanyak 240,000 benih ikan dan udang galah dianggarkan bernilai RM27,000 dilepas ke Sungai Marang di Kampung Pengkalan Berangan, di sini, hari ini.

Sebanyak 140,000 benih ikan yang dilepaskan termasuk kelah, baung, lampam sungai dan terbol, manakala benih udang galah keseluruhannya 100,000 ekor.

Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Rosman Rosdi, berkata sejak tahun 2008, sebanyak 1.9 juta ekor benih ikan pelbagai spesies, udang galah dan induk ikan bernilai RM456,000 dilepaskan ke sungai di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu pula, sejumlah 341,000 benih ikan keseluruhan bernilai RM121,600 dilepaskan ke sungai negeri ini.

Katanya, program pelepasan benih ikan ke perairan umum itu adalah sebahagian usaha jabatan untuk memperkayakan sumber perikanan di perairan negeri ini khususnya daerah ini, bagi menjana sumber pendapatan untuk nelayan dan penduduk setempat.

“Program ini memberi manfaat langsung kepada nelayan dan saban tahun jumlah tangkapan ikan sungai diperoleh lapan nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan negeri meningkat.

“Sebagai contoh, lapan nelayan darat di Marang yang berdaftar dengan kita merekodkan pendaratan sebanyak 186.3 tan metrik hasil tangkapan ikan darat bernilai RM2.41 juta tahun lalu,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelepasan benih berkenaan yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong di Sungai Marang, dekat Kampung Pengkalan Berangan, di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai kes tuba ikan, Rosman berkata, pihaknya mengesan hanya dua kes kegiatan menuba ikan di sungai di Kuala Nerus dan Setiu dilaporkan tahun ini, berbanding empat kes termasuk di Sungai Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, tahun lalu.

Beliau berkata, individu yang terbabit dalam kegiatan menuba ikan di dua lokasi itu berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pegawai serta anggota penguat kuasa perikanan dan polis.

Bagaimanapun katanya, beberapa peralatan digunakan termasuk pukat dan pancang kayu dipercayai digunakan individu untuk menjalankan kegiatan menuba ikan dirampas.

“Berdasarkan aduan penduduk, kegiatan menuba ikan itu bukan dilakukan oleh masyarakat tempatan, sebaliknya dilakukan individu dari luar negeri ini.

“Justeru kita memohon kerjasama pemimpin masyarakat setempat terutama jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk segera melaporkan kegiatan tuba ikan kepada polis atau pejabat perikanan terdekat untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata, individu yang ditahan melakukan kegiatan menuba ikan boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993), dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500 atau denda sehingga RM1,000 serta penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X