Isnin, 29 April 2019 | 11:29am
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan (kanan) pada sidang media bayaran zakat fitrah dan bantuan kepada asnaf di pejabat MUIP. - Foto Mohd Rafi Mamat

954 amil kutip zakat fitrah di Pahang

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melantik 954 amil bagi urusan mengutip zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata amil itu akan berada di masjid dan surau selain di pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bermula 1 Ramadan.

Beliau berkata, umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar zakat fitrah kerana pihaknya sudah menyediakan amil dengan jumlah yang ramai selain kemudahan pembayaran secara dalam talian.

“Masyarakat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya membayar zakat fitrah kepada amil yang ditauliahkan oleh MUIP sahaja.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya individu mengutip zakat fitrah tanpa diberi kuasa oleh MUIP dan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MUIP, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian sebagai pilihan kepada masyarakat Islam yang tidak berpeluang untuk bertemu amil yang berada di surau dan masjid.

Wan Abdul Wahid berkata, kadar zakat fitrah di Pahang tahun ini masih kekal RM7 berdasarkan harga beras ditetapkan MUIP, kadar berkenaan kekal selama 11 tahun sejak 2009.

“Pada Ramadan kali ini MUIP memperuntukkan sebanyak RM3.34 juta kepada 641 masjid di negeri ini untuk mengimarahkan bulan mulia dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

“Sebagai persediaan menyambut Aidilfitri kita peruntukkan sebanyak RM6.6 juta untuk diagihkan kepada mualaf dan fakir miskin saudara Muslim, ” katanya.

Berita Harian X