Rabu, 24 April 2019 | 2:54pm

LZS perlukan RM900 juta setahun penuhi keperluan asnaf

SHAH ALAM: Sebanyak RM900 juta setahun diperlukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memenuhi keperluan asnaf di negeri ini.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada pemeriksaan dan bancian yang dilakukan pihaknya.

Bagaimanapun, katanya LZS menyasarkan jumlah kutipan zakat pada tahun ini adalah sebanyak RM840 juta.

“Sasaran kutipan tahun ini adalah RM840 juta, tetapi keperluan asnaf di negeri ini mencecah RM900 juta dan ini menyebabkan ada bantuan yang akan diperlahankan.

“RM840 juta adalah cabaran besar tahun ini disebabkan beberapa faktor termasuk ekonomi, persepsi masyarakat.

“hakikatnya LZS menguruskan 13,910 keluarga fakir, 37,037 keluarga miskin dan 6,134 orang mualaf, malah mereka ini bukan saja perlukan bantuan bulanan, tetapi juga pendidikan agama dan ia tidak percuma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan LZS 2018, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika berucap, Abdul Basith berkata, sebanyak RM794 juta dikutip LZS tahun lalu dan RM830 juta wang zakat berjaya diagihkan kepada asnaf di negeri ini.

Katanya, lebihan sebanyak kira-kira RM30 juta yang diagihkan itu adalah baki daripada wang zakat yang diperoleh pada 2017.

“Berdasarkan fatwa ia mesti diagihkan dalam tempoh segera kepada asnaf.

“Terdapat sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya, namun jumlah ini masih jauh daripada sasaran sebenar keperluan asnaf yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, antara agihan zakat pada tahun lalu merangkumi RM123.6 juta bagi bantuan kewangan dan makanan bulanan asnaf fakir, miskin serta mualaf manakala RM72.4 juta bagi bantuan membina, baik pulih dan sewa rumah asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Selain itu, RM72.2 juta disalurkan bagi bantuan keperluan pendidikan dan yuran persekolahan asnaf fakir dan miskin, RM59.4 juta bagi bantuan umum pelajaran, biasiswa, dermasiswa kepada asnaf, orang kurang upaya (OKU), mualaf dan fisabillilah.

“RM52.6 juta bagi bantuan perubatan asnaf fakir, miskin, mualaf, RM25.8 juta pula disalurkan kepada bantuan dialisis asnaf gharimin,” katanya.

Berita Harian X