Rabu, 24 April 2019 | 2:31pm
HARIS Kasim
HARIS Kasim

JAIS lakukan pemantauan sepanjang Ramadan

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan menyeluruh sepanjang Ramadan ini.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata pelaksanaan itu akan dijalankan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dan Bahagian Pengurusan Halal.

Beliau berkata, pemantauan akan dibuat terhadap premis yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka pada waktu siang.

Katanya, pemantauan itu juga akan membabitkan pemeriksaan terhadap pihak yang mempromosikan hidangan berbuka puasa tanpa memiliki pensijilan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“JAIS komited untuk menjalankan pemantauan berterusan itu bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara.

“Pemantauan ini turut merangkumi penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa terutama di kawasan terbuka.

“Adalah menjadi satu kesalahan apabila individu beragama Islam didapati menjual makanan kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Haris berkata, individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana tidak menghormati Ramadan.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan itu juga dilakukan bagi memastikan tiada individu atau premis makanan mengambil kesempatan dalam mempromosikan hidangan berbuka puasa ‘Buffet Ramadan’ tanpa sijil halal.

Katanya, pihaknya memandang serius penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

“Ini satu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 dan RM500,000 (kesalahan berikutnya), jika sabit kesalahan.

“Peniaga dan pengusaha industri makanan harus segera mengemukakan permohonan pensijilan halal bagi membolehkan promosi bersandarkan peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X