Rabu, 24 April 2019 | 11:36am
PENGARAH Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas. - Foto Edmund Samunting
PENGARAH Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas. - Foto Edmund Samunting

Tiada syarat promosi berbuka puasa

KOTA KINABALU: Tiada syarat atau permit ditetapkan terhadap mana-mana premis makanan termasuk hotel untuk membuat promosi awal hidangan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas, berkata hanya promosi barangan pengguna seperti jualan murah musim perayaan perlu mendapatkan permit lebih awal daripada jabatan itu.

Beliau berkata, premis makanan, khususnya restoran dibenarkan membuat promosi hidangan berbuka puasa sebelum ketibaan Ramadan, termasuk memaparkan iklan mengenainya untuk menarik pelanggan.

“Tiada halangan kepada mana-mana restoran atau hotel yang mempromosikan hidangan berbuka puasa di premis masing-masing kerana ia memang perkara biasa kepada mana-mana peniaga membuat promosi awal sebelum ketibaan Ramadan.

“Terpulang kepada pengguna sama ada tertarik atau tidak dengan promosi mereka dan membuat keputusan. Hanya yang berkaitan promosi jualan murah seperti di pasar raya yang memerlukan permit,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas promosi berbuka puasa yang banyak diiklankan melalui risalah dan laman sosial dengan ada antaranya dibuat seawal sebulan sebelum Ramadan.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan sepanjang Ramadan yang pada tahun ini dijangka bermula pada 6 Mei ini, yang mana premis makanan khususnya milik peniaga Islam menyediakan hidangan berbuka puasa memandangkan kebanyakannya ditutup pada waktu siang.

Mengenai penggunaan ungkapan `hidangan berbuka puasa’ yang boleh dianggap sebagai menggantikan `halal’ dalam promosi pengusaha premis makanan, Georgie berkata ia tidak menjadi kesalahan kerana tidak merujuk secara khusus kepada pensijilan halal.

“Pengusaha premis melakukan kesalahan apabila ia memaparkan logo halal atau tulisan `halal’ bersama ungkapan `hidangan berbuka puasa’ sedangkan ia tiada sijil halal.

“Bagi kes seperti ini, kita akan membuat pemantauan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan pensijilan halal,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap peniaga sepanjang Ramadan ini bagi memastikan mereka mematuhi peraturan khususnya yang berkaitan dengan penjualan barangan keperluan pengguna menjelang musim perayaan.

Berita Harian X