Isnin, 22 April 2019 | 5:53pm
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Prasarana perkenal pas istimewa MyCity

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkenalkan pas istimewa MyCity ‘sehari’ dan ‘tiga hari’ untuk perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan Bas Rapid Transit (BRT) - Sunway Line.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Muhammad Nizam Alias, berkata pas-pas istimewa itu diperkenalkan sebagai respons kepada permintaan daripada para pelanggan terutama dari kalangan pelancong antarabangsa serta pelanggan dari luar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Bagi pelanggan biasa kami, untuk perjalanan tanpa had mereka boleh menggunakan pas My100 bagi 30 hari menggunakan perkhidmatan rel dan rangkaian BRT kami.

“Pas-pas baru ini pula memberi kemudahan yang sangat besar kepada pengguna bukan rakyat Malaysia dan bukan pelanggan biasa, untuk perjalanan tanpa had dalam tempoh masa yang singkat. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada sumbangan kami kepada industri pelancongan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, dengan menggunakan kad-kad perjalanan tanpa tunai seperti Touch ‘n Go dan direka bagi kemudahan pengguna di bandaraya, pas sehari dijual pada harga RM15 manakala pas tiga hari pada harga RM45.

“Pas MyCity sehari dan tiga hari ini boleh dibeli di semua stesen LRT, MRT, Monorail dan BRT. Pelanggan perlu memastikan kad-kad perjalanan tanpa tunai mereka mempunyai baki nilai minimum RM5 bagi melancarkan pergerakan mereka menerusi pintu tiket,” katanya.

“Ketika ini pakej berkenaan tidak meliputi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas pengantara MRT,” tambahnya. – BERNAMA

Berita Harian X