Isnin, 15 April 2019 | 4:19pm
ANNE Henry Gaweng (dua dari kanan) bersama keluarga selepas menerima yang menerima Diploma Perakaunan di Majlis Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan Ke-90 di Kota Samarahan. -NSTP/Norsyazwani Nasri

Anne Henry jadi kebanggaan Orang Ulu

KOTA SAMARAHAN: Kejayaan Anne Henry Gaweng, 23, meraih Diploma Perakaunan di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan, mengangkat dirinya menjadi sebahagian kecil anak etnik Orang Ulu di Belaga di pedalaman Sarawak yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti.

Anak pesara guru itu berkata, bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu berbanding mereka yang tinggal di bandar kerana berada di kawasan pedalaman yang masih serba-serbi kekurangan kemudahan pembelajaran.

“Bagi saya kejayaan hari ini hadiah yang cukup istimewa kepada keluarga kerana berkat doa dan dorongan mereka saya dapat mencapai kejayaan ini.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi contoh buat masyarakat Orang Ulu di kampung saya untuk menyambung pengajian lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, hari ini.

Bagi meraikan hari istimewanya Anne turut diiringi bapanya Gaweng Isang,63, dan ibu Josephine Saging, 54, serta ahli keluarga lain yang datang dari kampung.

Mengulas lanjut, Anne berkata, dirinya sedar bapa dan ibunya datang dari latar belakang yang susah dan neneknya pula hanya petani sepenuh masa membuatkannya menguatkan semangat untuk mengubah nasib keluarga.

“Pada mulanya saya sudah patah hati untuk menyambung pengajian tetapi selepas dipujuk ibu dan keluarga saya kuatkan kembali semangat.

“Selepas ini saya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda juga dalam bidang perakaunan,” katanya.

Sementara itu, Nur Khairina Khairul Hisham, 23, berasal dari Kuching yang menerima Diploma Ukur Bahan berkata, dia memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang terbabit kerana sememangnya meminati bidang itu.

Katanya, ibu dan ayahnya sememang berkerjaya dalam bidang perniagaan kontraktor mendorongnya mengikuti jejak langkah mereka.

“Selepas ini saya merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama dan apabila tamat belajar kelak mahu membantu ayah dan ibu menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak kali ini menyaksikan seramai 406 orang graduan menerima Ijazah Sarjana Muda manakala 925 graduan lagi menerima Diploma.

Sesi konvokesyen berlangsung dalam empat sidang yang membabitkan 1,331 graduan dengan 335 graduan pada sidang pertama, 339 graduan pada sidang kedua, 334 graduan pada sidang ketika dan 323 graduan untuk sidang keempat.

Majlis penyampaian Ijazah dan Diploma kepada graduan telah disempurnakan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Datuk Sri Zarinah Anwar dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali.

Berita Harian X