Ahad, 14 April 2019 | 12:53pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) merasmikan Pertandingan Memancing Udang Galah Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Jeti Nelayan Grisek, Tangkak. - NSTP/Adi Safri
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kanan) merasmikan Pertandingan Memancing Udang Galah Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Jeti Nelayan Grisek, Tangkak. - NSTP/Adi Safri

Jeti nelayan jadi destinasi agro pelancongan

TANGKAK: Beberapa jeti nelayan di Sungai Muar yang menjadi lokasi popular aktiviti memancing udang galah bakal diangkat menjadi tarikan agro pelancongan terkemuka negara pada masa akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata ia sekali gus akan dapat membantu nelayan darat di kawasan ini meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, beberapa jeti nelayan seperti Gerisek, Panchor, Bukit Kepong dan Renchong sudah dikenali sebagai lokasi terbaik bagi kaki pancing untuk menangkap udang galah dan potensi ini perlu diperkasakan bagi memberi manfaat yang besar kepada penduduk setempat khususnya nelayan darat di kawasan berkenaan.

“Saya berasakan sudah sampai masanya bagi kementerian untuk mempromosi secara besar-besaran lokasi terbabit supaya kawasan ini menjadi destinasi agro pelancongan.

“Mereka boleh melaksanakan pelbagai kegiatan termasuk pertandingan memancing udang galah dan tidak mustahil dalam tempoh terdekat, kita boleh adakan pertandingan sama di peringkat antarabangsa pula.

“Ini kerana saya lihat keunikan Sungai Muar ini boleh membekalkan spesies udang galah secara konsisten pada masa tertentu dan ia sesuai untuk diangkat sebagai destinasi agro pelancongan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pertandingan Memancing Udang Galah Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Johor di Jeti Nelayan Gerisek di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi.

Salahuddin berkata, beliau akan memastikan kementeriannya akan memberi bantuan dan insentif supaya jeti nelayan berkenaan akan muncul sebagai destinasi agro pelancongan terkenal.

“Selain itu spesies udang galah yang dalam kategori terbaik di Sungai Muar akan dapat menarik perhatian kaki pancing dan saya yakin dengan bantuan daripada kementerian kelak termasuk teknologi ternakan udang galah yang kita lepaskan semula ke dalam sungai akan dapat memperkasakan lagi sektor ini.

“Ia adalah usaha pemodenan dalam sektor ini dan apa yang penting, saya gembira pendapatan nelayan akan bertambah. Difahamkan, bagi udang galah gred C nelayan meraih pendapatan antara RM70 hingga RM80 sekilogram dan RM100 ke atas bagi gred A.

“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya kelestarian sungai terpulihara daripada pencemaran supaya kita dapat kekalkan spesies udang galah ini dan seterusnya membolehkan nelayan dapat menambahkan pendapatan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai fenomena penerobosan air masin yang turut mengancam habitat haiwan akuatik di Sungai Muar, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.

“Saya juga diberikan taklimat, sekiranya berlaku kekurangan hujan pada musim kemarau akan menyebabkan berlaku kemasukan air masin yang melebihi standard biasa. Saya rasa koloborasi kita dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan diadakan supaya kita dapat melihat perkara itu dan mencari kaedah untuk mengatasinya,” katanya.

Berita Harian X