Rabu, 10 April 2019 | 5:59pm
Anggota penguatkuasa MDSB memeriksa penjaja sempena Operasi Khas Penjaja Luar Pagar Sekolah. - Ihsan MDSB

MDSB tegah jual makanan luar sekolah

SABAK BERNAM: Sembilan penjaja dipercayai tanpa lesen, yang berniaga di luar pagar sekolah di daerah ini dikenakan kompaun dan tindakan sita dalam satu operasi yang dijalankan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) selama dua hari minggu lalu.

Setiausaha MDSB, Mohd Muktafi Sarpan, berkata serbuan dijalankan hasil aduan dan maklumat awam mengenai kewujudan penjaja makanan tidak berlesen di kawasan sekolah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pada Khamis dan Jumaat lalu (4 dan 5 April) itu membawa kepada tindakan terhadap sembilan penjaja terdiri daripada lima rakyat tempatan dan empat warga

asing.

“Mereka dikenakan kompaun maksimum RM1,000 selain tindakan sitaan ke atas barangan yang dijual,” katanya di sini, hari ini.

Operasi Khas Penjaja Luar Pagar Sekolah berkenaan dijalankan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima aduan dan maklumat daripada orang awam sebelum pemeriksaan dijalankan pada 4 dan 5 April lalu di 22 buah sekolah di daerah itu.

Sembilan penjaja berkenaan dikenakan tindakan termasuk barangan jualan mereka dirampas dalam operasi antara jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Menurut Mohd Muktafi, semua peniaga itu melakukan kesalahan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja MDSB 2007 kerana berniaga tanpa lesen dan motosikal penjaja warga asing turut disita untuk tindakan lanjut.

“Tindakan terhadap penjaja itu diambil selaras dengan garis panduan bertujuan mengurangkan murid sekolah mengambil makanan atau minuman yang dikategorikan tidak sihat dan ia akan diadakan secara berkala,” katanya.

Berita Harian X