Isnin, 8 April 2019 | 12:28pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick hadir pada majlis Perasmian Sambutan Utamakan Kesihatan Petani, Perasmian Koperasi Petani Tambatuon (KOPETA) dan penyampaian Sijil Tamat Latihan Jurulatih SRI, Malaysia Timur, di Dewan Kampung Tambatuon. - Foto ihsan KPLB

Program SRI bantu lonjakkan pengeluaran beras keladi

KOTA BELUD: Program Sistem Intensifikasi Padi (SRI) yang dilaksanakan di Kampung Tambatuon, di sini, dijangka dapat melonjakkan lagi pengeluaran produk beras keladi ke pasaran lebih luas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Kadamaian adalah kawasan pertama yang melaksanakan program SRI hasil kerjasama antara penduduk kampung dengan Malaysian Agroecology Society for Sustainable Resource Intensification (SRI-MAS).

Ewon yang menyokong program itu berkata, penanaman padi berasaskan konsep dan amalan SRI itu adalah untuk menghasilkan tanaman organik.

“Melalui sokongan pelbagai pihak termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud dan Rakan Kongsi Organisasi Masyarakat (PACOS) penduduk kampung mengusahakan penanaman dan perusahaan beras keladi secara organik.

“Dengan sokongan ini, saya yakin kita dapat melonjakkan produk beras keladi Kampung Tambatuon ke pasaran yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Sambutan Utamakan Kesihatan Petani, Perasmian Koperasi Petani Tambatuon (KOPETA) dan penyampaian Sijil Tamat Latihan Jurulatih SRI, Malaysia Timur, di Dewan Kampung Tambatuon, di sini, semalam.

Ewon berkata, usaha itu membabitkan United Nations Development Programme (UNDP) dan ada program berkaitan yang membabitkan persijilan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang memberi pengiktirafan terhadap produk asli beridentitikan warisan asal komuniti di sesebuah kawasan.

“Saya yakin usaha ini akan melonjakkan lagi aktiviti ekonomi di kampung itu dan ia bersesuaian dengan aspirasi untuk membangunkan kawasan Kadamaian berasaskan dua sektor ekonomi utama, iaitu pelancongan desa dan pertanian mapan.

“Inilah antara fokus utama penyediaan Pelan Pembangunan Kadamaian bagi 2020-2035 yang akan dimulakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan Pejabat Perhubungan Kadamaian.

“Saya akan memastikan pendekatan amalan SRI dalam perusahaan padi di kawasan Kadamaian dimasukkan dalam perincian pelan itu nanti dan saya berharap program ini diperluaskan ke kampung lain di kawasan ini,” katanya.

Berita Harian X