Ahad, 7 April 2019 | 2:57pm
Abang Johari (empat dari kanan) melihat model jalan raya yang akan dibina bagi menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis pada majlis pelancaran projek pembinaan jalan pintas di Sarikei. - NSTP/Harun Yahya
Abang Johari (empat dari kanan) melihat model jalan raya yang akan dibina bagi menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis pada majlis pelancaran projek pembinaan jalan pintas di Sarikei. - NSTP/Harun Yahya

Jalan pintas hubungkan Sarikei-Tanjung Manis

SARIKEI: Tempoh perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis akan disingkatkan dengan pembinaan jalan pintas, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Sebelum ini, penduduk yang berulang alik antara Sarikei dan Tanjung Manis atau sebaliknya terpaksa menempuh perjalanan sehingga lebih dua jam kerana perlu melalui Sibu.

Abang Johari berkata apabila jalan pintas itu, siap perjalanan antara dua lokasi terbabit dijangka mengambil masa hanya beberapa minit saja.

Jelas beliau, sebelum ini ramai penduduk menempuh kesulitan walaupun jarak antara dua lokasi itu tidak jauh.

“Selepas ini, penduduk tidak perlu bimbang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke Tanjung Manis dari Sarikei ini, kerana jalan raya yang akan kita bina menjamin perjalanan menjadi jauh lebih singkat.

“Malah, jalan raya itu nanti mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi terutama sektor pertanian di sepanjang laluannya,” katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan jalan pintas itu di sini, hari ini.

Projek jalan raya sepanjang 17 kilometer (km) termasuk jambatan sepanjang 1.2 km ilometer itu dilaksanakan dengan kos RM321 juta.

Abang Johari berkata, pembinaan jalan raya itu antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan rakyat di luar bandar.

“Jalan raya di kawasan pesisir perlu untuk menghubungkan rakyat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik, seterusnya meningkatkan lagi ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.

Berita Harian X