Ahad, 7 April 2019 | 2:49pm
Rina (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Penyerahan Projek dan Lawatan Kerja Pembaikan Cerun di Penampang. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

50 projek JPD, 81 JALB dibina di Sabah - Rina

PENAMPANG: Sebanyak 50 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan 81 lagi Jalan Luar Bandar (JALB) dibina pada peringkat pertama pelaksanaan di Sabah, tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata projek pembinaan JPD itu membabitkan peruntukan RM10 juta.

“Projek itu dijangka siap pada Jun depan. Kementerian sedang mengenal pasti projek yang akan dilaksanakan pada peringkat kedua nanti mengikut keutamaan keperluan.

“Bagi 81 projek JALB pula, ia membabitkan kos sebanyak RM316.9 juta. Hingga kini, sebanyak 20 jalan sedang dalam pembinaan, manakala selebihnya pada pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek dan Lawatan Kerja Pembaikan Cerun di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di Kampung Limbanak, dekat sini, hari ini.

Tahun ini, Rina berkata, Sabah menerima peningkatan peruntukan dalam bajet, iaitu RM11.3 bilion yang juga tertinggi bagi kementerian, membabitkan 27 projek baharu dan 98 projek sambungan.

Setakat ini, beliau berkata, tiga projek JALB sudah disiapkan di Keningau, Pitas dan Kota Belud yang dapat memanfaatkan kira-kira 9,000 penduduk kawasan berkenaan.

“Projek itu termasuk Jalan Ansip-Dalit-Kahaba, Keningau, dengan kos RM197.8 juta membabitkan jalan sepanjang 43 kilometer (km) dan sebuah jambatan yang memanfaatkan kira-kira 5,000 penduduk daripada 11 kampung di kawasan berkenaan.

“Projek seterusnya membabitkan Jalan Nibang, Pitas, dengan kos RM98.4 juta meliputi jalan sepanjang 18.5km dan dua jambatan yang boleh dimanfaatkan kira-kira 3,000 penduduk daripada 12 kampung.

“Projek ketiga pula membabitkan Jalan Rosok, Kota Belud, dengan kos RM10 juta meliputi jalan sepanjang 3km yang memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk di sekitar daerah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, melalui Program Ameniti Sosial (PAMS), Kementerian Pembangunan Luar Bandar sudah mengenal pasti 44 projek kerja menaik taraf serta membaik pulih masjid, surau, dewan serbaguna, jambatan dan sistem perparitan di kawasan luar bandar di Sabah.

“Pelaksanaan program ini membabitkan peruntukan RM6.47 juta,” katanya sambil menegaskan kementerian akan terus mengenal pasti kemudahan dan infrastruktur di kampung yang perlu dinaik taraf atau diperbaiki mengikut keutamaan.

Berita Harian X