Sabtu, 6 April 2019 | 8:33pm
SEBAHAGIAN pelajar yang hadir pada perasmian Karnival Kerjaya 'University to Industry' anjuran UMP di Dewan Astaka UMP Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Graduan UMP ditawar sertai program keusahawanan

KUANTAN: Pelajar lepasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang sedang mencari pekerjaan ditawarkan tempat bagi menyertai program keusahawanan ‘Protege’ yang dilancarkan Kementerian Sumber Manusia, Januari lalu.

Ketua Sekretariat Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege), Nor Asyikin Ismail, berkata program terbabit akan mendidik mereka menjadi usahawan, selain menyediakan bimbingan kewangan melalui agensi bawah kementerian berkenaan.

“Program ini bukan saja memfokuskan kepada lepasan universiti, malah persediaan untuk pelajar yang tamat persekolahan.

“Beberapa komponen di bawah program ini termasuk Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) turut diketengahkan kepada graduan sebagai persediaan dalam mencari peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Karnival Kerjaya ‘University to Industry’ di UMP Kampus Gambang, di sini, hari ini.

Karnival dirasmikan Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Nor Asyikin berkata, program terbabit membuka peluang graduan menceburi perniagaan, selain mencari pekerjaan.

“Selain itu, kita juga bawakan syarikat yang ingin menawarkan tempat kepada graduan UMP dan inilah masanya pelajar mengambil bahagian memulakan jaringan dengan syarikat yang ada,” katanya.

Karnival dua hari bermula semalam itu disertai 35 syarikat yang menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dan berjaya menarik perhatian hampir 3,000 pengunjung.

Sementara itu, Md Sharif berkata, graduan tidak boleh sekadar mengharapkan kepada kelulusan dimiliki, sebaliknya perlu mempunyai bakat bagi menarik perhatian majikan.

“Pelajar perlu mempunyai kombinasi iaitu kelulusan, kemahiran dan bakat untuk menempatkan diri dalam bidang pekerjaan. Mereka tidak boleh mengharapkan kelulusan semata-mata, sebaliknya perlu ada tambahan lain.

“Mereka juga perlu berani mencari peluang pekerjaan di luar negara dan mempertingkatkan bakat dimiliki bagi mengumpan bakal majikan,” katanya.

Berita Harian X