Khamis, 4 April 2019 | 10:49am
ZAKARIA Kamantasha menunjukkan beras organik yang diusahakannya di Sri Lovely Organik Farm. - Foto Amran Hamid

Baca al-Quran, tafsir beri idea petani guna polibeg tanam padi

SIK: Rutin membaca al-Quran bersama tafsirnya memberi idea kepada seorang petani untuk melakukan inovasi mengusahakan tanaman padi di dalam polibeg.

Zakaria Kamantasha, 53, berkata inovasi itu dilakukan sejak September 2014 selepas mendapat ilham dari ayat 261 surah al-Baqarah yang menyebut mengenai menanam sebiji benih.

Katanya, maksud ayat itu adalah perumpamaan bagi orang mendermakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji, Allah SWT melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) dan lagi Maha Mengetahui.

“Selepas memahami ayat itu, saya sedar bahawa tanaman padi tidak semestinya di atas tanah yang luas sedangkan Allah telah menyebut benih boleh ditanam satu demi satu dan saya memilih untuk tanam dalam polibeg,” katanya ketika ditemui di Sri Lovely Organik Farm, di Kampung Lintang, Belantik, di sini.

Zakaria yang sebelum ini hampir lima tahun menanam padi organik di sawah seluas sembilan hektar berkata, setiap benih yang ditanam akan mengeluarkan 70 hingga 80 tangkai, di mana ia boleh menghasilkan kira-kira 12,600 biji padi iaitu seberat 350 gram.

Katanya, penanaman padi di dalam polibeg masih mengekalkan cara tanaman organik dan mengambil masa yang sama seperti tanaman biasa iaitu selama 110 hari.

“Setiap musim saya akan menanam padi di dalam kira-kira 300 polibeg dengan hasil 90 kilogram (kg) dan proses menanam ini tidaklah serumit tanaman biasa yang memerlukan perhatian yang lebih. Tanaman di polibeg saya hanya perlu menyiram dan menabur baja dan racun organik.

“Antara lain ia tidak memerlukan ruang yang luas dan boleh ditanam di mana saja walaupun di kawasan bandar, kini inovasi yang saya lakukan turut dikongsi dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

“Mereka menanamnya di atas bumbung di salah satu pusat pengajian di sana,” katanya yang juga Felo Institut Pengurusan Bencana (DMI) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bagaimanapun ketika tinjauan BH di Sri Lovely, Zakaria baru saja menuai padi di dalam polibeg dan dia akan memulakan tanaman dalam polibeg semula tidak lama lagi.

Sementara itu, ladang Sri Lovely mendapat perhatian pengkaji, pelajar dan pengunjung dari seluruh dunia termasuk dari Belgium, Perancis, Itali, Arab Saudi, Jepun, Australia dan Singapura.

Mereka sanggup menjadi sukarelawan sebagai petani bagi mendapatkan ilmu secara praktikal sebelum dibawa balik ke negara mereka.

Antaranya, Federica Agnese, 29, yang berasal dari Rom, Itali.

Katanya, beliau sudah dua tahun tinggal di situ bagi melakukan kajian untuk pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik UUM.

“Selama di Sri Lovely saya mempelajari banyak perkara mengenai pertanian padi organik termasuk cara tanaman di dalam polibeg.

“Di sini kaedah penanaman padi berbeza dari tempat lain iaitu melalui prinsip penyuburan tanah, pembenihan, penanaman, pembajaan dan pengairan serta tidak membunuh serangga dan organisma baik di dalam tanah.

“Kesemua prinsip ini terbukti berjaya selepas pelaksanaannya memberi kesan yang sangat positif menerusi hasil tuaian, beras yang lebih berkualiti, menjimatkan sumber dan kos serta penjagaan alam sekitar,” katanya.

Katanya, walaupun bekerja di bawah panas terik serta hujan, beliau sudah tahu proses mencedung, melandak sehinggalah mengerat pokok padi secara tradisional.

Baginya, ia sangat berbaloi dan beliau merancang untuk mengaplikasikan inovasi ini selepas pulang ke Itali nanti.

Tamat

Berita Harian X