Selasa, 2 April 2019 | 3:05pm
KEADAAN rumah masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai kemudahan asas di hutan berhampiran Bukit Bandaraya, Seksyen 8. - Foto ihsan Lembaga Zakat Selangor

Orang Asli Bukit Bandaraya mohon kemudahan asas

SHAH ALAM: Penduduk masyarakat Orang Asli yang tinggal di hutan berhampiran Bukit Bandaraya, Seksyen 8, di sini, memohon bantuan bekalan air dan elektrik dapat disalurkan ke kawasan perumahan mereka.

Penduduk, Siti Aminah Abdullah, 39, berkata hasrat itu disampaikan penduduk ketika dibanci Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu operasi turun padan menyemak status penerima zakat, baru-baru ini.

Beliau yang juga seorang mualaf berkata, dua kemudahan itu amat diperlukan, terutama oleh empat anaknya yang berusia lapan hingga 10 tahun.

“Kalau hujan pada waktu malam, suami, Sulaiman Mela, 42, perlu belanjakan RM20 untuk tempoh dua atau tiga jam bagi memasang generator.

“Kos itu bagi membeli minyak. Pendapatan bulanan suami tidak banyak dan ini meningkatkan kos belanja bulanan kami,” katanya ketika ditemui, di sini.

Operasi berkenaan turut disertai Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling LZS, Mohd Nur Fadhil Yohman dan beberapa wakil penaja.

Dalam operasi terbabit, kira-kira 15 keluarga asnaf daripada masyarakat Orang Asli turut menerima bantuan makanan.

Sementara itu, Mohd Nur Fadhil, berkata melalui operasi turun padang terbabit, kakitangan LZS melakukan bancian dan semakan secara terus bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang perlu diberikan kepada keluarga itu.

Katanya, semakan terbabit secara tidak langsung akan dapat mengemas kini status mereka, sekali gus menilai sama ada pendapatan seisi keluarga asnaf terbabit masih berada di bawah garis minimum kecukupan.

“Penilaian berkenaan amat perlu supaya LZS dapat memastikan saluran bantuan zakat untuk tahun ini mengikut keperluan dan syarat kelayakan sesebuah keluarga penerima.

“Operasi ini juga adalah rutin tahunan yang akan dilaksanakan LZS dalam usaha mengenal pasti golongan yang benar-benar layak menerima bantuan zakat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha membantu masyarakat Orang Asli keluar dari kepompong kemiskinan bukan sesuatu yang mudah kerana golongan itu masih mahu tinggal di dalam kawasan hutan.

Berita Harian X