Selasa, 2 April 2019 | 10:32am
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman haidr pada program pelepasan benih ikan di Sungai Teris, Kuala Gandah, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman haidr pada program pelepasan benih ikan di Sungai Teris, Kuala Gandah, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

4.42 juta benih ikan dihasilkan tahun lalu

TEMERLOH: Kira-kira 4.42 juta benih ikan air tawar daripada lebih 16 spesies ikan yang dihasilkan Jabatan Perikanan Pahang tahun lalu akan digunakan untuk program pelepasan di perairan negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman, berkata benih ikan disumbangkan Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP), Jerantut dan Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi (PPABT), Bentong itu adalah bagi menampung permintaan tinggi di pasaran.

“Tahun lalu PPAP mengeluarkan lebih 1.92 juta benih ikan manakala PPABT pula menghasilkan 2.5 juta benih ikan spesies patin, kelah, temoleh, puyu, sebarau, keli, lampam sungai dan tilapia merah.

“Usaha menambah pengeluaran benih ikan air tawar sedang giat dilakukan, namun faktor semula jadi seperti cuaca dan induk mempengaruhi usaha berkenaan,” katanya pada program pelepasan benih ikan di Sungai Teris, Kuala Gandah dekat sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah itu melepaskan 15,000 benih ikan lampam sungai dan kelah di dua lokasi berasingan di Sungai Teris.

Azahari berkata, dalam tempoh tiga bulan tahun ini, PPAP menghasilkan lebih 375,600 benih berbanding PPABT (kira-kira 610,900 benih) yang dianggap satu pencapaian memuaskan.

Katanya, spesies ikan yang banyak dihasilkan setiap tahun adalah lampam sungai, tilapia merah, lampam jawa dan kerai lampam.

Tahun lalu, jabatan perikanan itu sudah melepaskan lebih 1.6 juta benih pelbagai spesies ikan air tawar di perairan umum negeri ini.

Berita Harian X