Sabtu, 30 March 2019 | 10:59am
DATUK Ewon Benedick. - Foto ihsan KPLB Sabah
DATUK Ewon Benedick. - Foto ihsan KPLB Sabah

Sukan lasak lonjak pelancongan di Kadamaian

KOTA BELUD: Penganjuran sukan lasak dan seni mempertahankan diri di Kadamaian dilihat akan dapat membantu merancakkan lagi ekonomi setempat terutama dalam sektor pelancongan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata penganjuran program sukan di kawasan itu terbukti membantu meningkatkan ekonomi dengan mewujudkan peluang sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.

“Baru-baru ini kita mengadakan Program Kadamaian Cross Country Challenge bersempena dengan pelancaran Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Kadamaian, di mana lebih 3,000 orang mengambil bahagian dalam acara itu.

“Sebahagian besar mereka menyewa rumah inap desa dan membayar beberapa perkhidmatan lain seperti bayaran masuk di pusat-pusat eko-pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Taekwando Terbuka Kota Belud anjuran Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF) Sabah, di Gelanggang Futsal Kampung Tambulion, di sini, hari ini.

Ewon berkata, kejohanan taekwando yang diadakan di Kampung Tambulion, Kadamaian ini disertai pasukan dari seluruh negeri dan sudah tentu ia dapat merancakkan ekonomi rakyat di kawasan Kadamaian.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menyokong supaya MGTF terus memilih Kadamaian sebagai destinasi penganjuran kejohanan peringkat lebih tinggi, pada masa akan datang.

“Saya dimaklumkan ramai anak muda yang terpilih bertanding ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, saya melihat penganjuran sukan seperti ini bukan hanya menjadi platform mengasah bakat kesukanan, tetapi juga memperkasakan semangat disiplin di kalangan peminat sukan taekwando.

“Sukan mempertahankan diri dapat membentuk masyarakat yang berkualiti, seterusnya memberi inspirasi kepada yang lain untuk turut sama mencetuskan kecemerlangan dalam bidang pilihan masing-masing,” katanya.

Ewon berkata, beliau tidak pernah menyertai sukan berasaskan seni mempertahankan diri namun amat menghargai semangat disiplin dan falsafah yang diterapkan kepada ahli-ahli sukan ini.

Dalam majlis berkenaan, selain sumbangan hadiah sebanyak RM3,000, Ewon juga menyampaikan peruntukan ‘touchpoints’ ADUN Kadamaian sebanyak RM5,000 kepada MGTF Cawangan Kota Belud untuk membeli kelengkapan-kelengkapan latihan kepada ahli-ahlinya.

Sementara itu Pengerusi Penganjur, Boniface Jiran, berkata kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini (29 Mac) disertai lapan daerah seluruh Sabah.

“Antara daerah yang menyertai kejohanan ini ialah Keningau, Beaufort, Pitas, Kudat, Kota Marudu dan Kota Kinabalu membabitkan 200 peserta berusia 21 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata, rombongan dan peserta kejohanan juga memenuhi beberapa pusat penginapan sekitar Kota Belud, antaranya inap desa sekitar pekan, Mountain View, Homestay Kuala Abai dan Tang Dynasty.

Berita Harian X