Jumaat, 29 March 2019 | 10:32am

1.6 juta benih ikan air tawar dilepaskan di Pahang

TEMERLOH: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan lebih 1.6 juta benih pelbagai spesies ikan air tawar di sungai, empangan dan tasik di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Azahari Othman, berkata aktiviti pelepasan benih ikan seperti kelah, lampam sungai, temoleh, patin, kerai, talipia dan sebarau dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang terbabit dengan program diadakan.

Katanya, bekalan benih ikan diperoleh dari Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut dan Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Bentong milik Jabatan Perikanan selain beberapa pusat pembenihan swasta.

“Dalam tempoh tiga bulan tahun ini jabatan melepaskan sebanyak 225,000 benih pelbagai spesies ikan ke perairan umum di beberapa daerah atas permintaan masyarakat setempat dan nelayan darat.

“Sungai Pahang yang merentasi beberapa daerah di negeri ini antara perairan umum yang menjadi lokasi utama aktiviti pelepasan pelbagai spesies utama ikan air tawar,” katanya pada program pelepasan benih ikan di Sungai Teris, Kuala Gandah, dekat sini, hari ini.

Pada program dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah itu, sebanyak 15,000 benih ikan lampam sungai dan kelah dilepaskan di dua lokasi berasingan Sungai Teris yang terletak dalam kawasan pusat konservesi itu.

Azahari berkata, kali pertama program pelepasan benih ikan di sungai berkenaan dilakukan empat tahun lalu, aktiviti terbabit akan dilakukan pada masa akan datang dengan sokongan pusat konservasi terbabit yang terkenal sebagai produk pelancongan utama di negeri ini.

“Kita berharap ikan lampam sungai dan kelah yang terdapat di Sungai Teris dapat menjadi produk pelancongan terbaharu apabila pelancong dapat melihat sambil memberi ikan makan di kawasan jeti” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin, berkata program pelepasan benih ikan penting untuk komuniti setempat terutama masyarakat Orang Asli.

“Kita juga berharap masyarakat setempat dapat bekerjasama menjaga hidupan marin di Sungai Teris untuk menjadikannya sebagai produk eko pelancongan terbaharu selain sumber makanan,” katanya.

Berita Harian X