Khamis, 28 March 2019 | 7:27pm
Izani (tengah) bersama Samsuri (dua dari kanan) melawat pameran selepas Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Dan Expo Hartanah (HOC-MAPEX) Kelantan 2019 di Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Izani (tengah) bersama Samsuri (dua dari kanan) melawat pameran selepas Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Dan Expo Hartanah (HOC-MAPEX) Kelantan 2019 di Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Simpan 'bawah bantal' antara punca permohonan ditolak

KOTA BHARU: Sikap menyimpan wang ‘di bawah bantal’ dalam kalangan penduduk di Kelantan menyebabkan mereka tidak mempunyai dokumen aliran keluar masuk wang yang sah.

Ini menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan dokumen pendapatan rasmi bagi membuktikan keupayaan membayar pinjaman sekali gus menjadi punca permohonan mereka ditolak pihak bank.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata kuasa beli rakyat di Kelantan sebenarnya amat tinggi, namun masalah utama mereka adalah gagal membuktikan dokumen yang diperlukan apabila membuat pinjaman perumahan.

“Tidak dinafikan, kebanyakan mereka lebih memilih untuk menyimpan wang ‘di bawah bantal’ yang menyebabkan mereka tidak mempunyai dokumen aliran keluar masuk wang yang sah, terutamanya ketika mahu membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Dan Expo Hartanah (HOC-MAPEX) Kelantan 2019 di Pasaraya KB Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri, Mohd Shukri Omar, dan Pengerusi MAPEX Negeri, Datuk Samsuri Awang Mat.

Program anjuran REHDA Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Mac ini yang menawarkan sebanyak 6,000 unit hartanah pelbagai jenis serendah RM135,000 sehingga RM650,000.

Dalam perkembangan lain, Izani berkata, kerajaan negeri sudah menghantar senarai nama pemohon yang layak mendapat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak tiga bulan lalu.

“Saringan juga sudah dilakukan mengikut syarat yang ditetapkan dan diberikan kepada pihak kementerian untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Samsuri berkata, pada tahun lalu, MAPEX berjaya menjual 200 unit kediaman pelbagai jenis dengan jumlah jumlah mencecah RM700 juta.

“Pada tahun ini, pihak kami menyasarkan mampu mencapai jualan lebih 300 unit kediaman pelbagai jenis,” katanya.

Berita Harian X