Khamis, 28 March 2019 | 12:33pm
Penduduk FELDA Chini Timur mengambil botol air sumbangan Yayasan Pahang di Dewan Orang Ramai FELDA Chini Timur 3. - Foto Shahrinnahar Latib
Penduduk FELDA Chini Timur mengambil botol air sumbangan Yayasan Pahang di Dewan Orang Ramai FELDA Chini Timur 3. - Foto Shahrinnahar Latib

Penduduk gali perigi

PEKAN: Masalah gangguan bekalan air di sekitar gugusan FELDA Chini, dekat sini, sejak sebulan lalu, memaksa penduduk menggunakan air perigi sebagai alternatif bagi mendapatkan air mentah untuk kegunaan harian.

Situasi itu disebabkan paras air Sungai Mentiga kering, sekali gus menyaksikan penyusutan mendadak terhadap paras bekalan di Loji Air Chini sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air kepada penduduk sekitar.

Ibu tunggal di FELDA Chini Timur 2 di sini, Zabedah Isa, 62, berkata, dia terpaksa menggali perigi sedalam lebih tiga meter bagi mendapatkan bekalan air untuk keperluan harian awal bulan ini.

“Rumah kami jarang mendapat bekalan air paip jika ada pun hanya sekejap dan terlalu sedikit sehingga memaksa kami sekeluarga membeli air minuman dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan sekeluarga.

“Ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menggali perigi di belakang rumah. Walaupun air perigi itu agak keruh dan berlumpur, namun sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit kegunaan air bagi kami semua ketika musim kemarau ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ibu kepada lapan orang anak itu berkata, dia mengambil masa hampir dua minggu untuk menggali perigi di belakang rumahnya dibantu anak bongsu berusia 24 tahun.

“Biarpun Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ada menghantar bekalan air bersih menggunakan lori tangki untuk kegunaan kami sekeluarga, namun tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roziah Ramli, 52, berkata sehingga kini, lebih 10 karton air minuman sudah dibelinya sejak masalah gangguan bekalan air berlaku di sini.

“Saya tiada pilihan lain kena beli air minuman juga untuk digunakan di rumah. Jika harapkan PAIP hantar memang tidak mencukupi. Kadang-kadang ada juga air keluar daripada paip, namun terlalu kotor dan tidak sesuai untuk diminum,” katanya.

Suri rumah itu berkata, ketiadaan bekalan air bersih yang berlarutan lebih sebulan sejak kebelakangan ini menjadi bebanan yang besar kepada penduduk untuk melakukan aktiviti seharian.

“Justeru saya berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah kami ini yang sudah berlarutan hampir sebulan... memang sengsara tiada air,” katanya.

Berita Harian X