Rabu, 27 March 2019 | 5:50pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - NSTP/Jannah Kho

879,913 hektar tanah NCR sudah diukur

SARIKEI: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak sudah mengukur 879,913 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh negeri dalam tempoh kurang 10 tahun.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan sistem pengukuran digunakan JTS.

“Ia melebihi empat kali ganda hasil yang dilakukan dalam tempoh 50 tahun lalu.

“Usaha ini juga menunjukkan pendekatan, konsep dan kaedah yang diguna pakai kerajaan negeri dalam memantapkan sistem pemfailan tanah NCR penduduk mula diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Sarikei di Rumah Sedau, Pakan, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datuk Len Talif Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dan Pegawai Penguasa JTS Bahagian Sarikei, Ngu Tai Kong.

Awang Tengah berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan tanah NCR yang sahih diukur akan dikeluarkan surat hak milik.

“Pada tahun ini, RM40 juta diperuntukkan bagi mengukur tanah seperti yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. Kerajaan akan sentiasa mengiktiraf tuntutan hak milik tanah NCR yang sahih dan memiliki bukti kukuh,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik tanah supaya membantu mempercepatkan proses pengukuran tanah dan menyelesaikan sebarang pertindihan antara pemilik.

Pada majlis itu, sebanyak 452 surat hak milik tanah diserahkan kepada 409 pemilik bagi kawasan Jalan Pakan-SESCO.

Berita Harian X