Isnin, 18 March 2019 | 5:12pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. - Foto ihsan KPLB Sabah
MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. - Foto ihsan KPLB Sabah

Program 5K Komuniti Kadamaian dilancarkan

KOTA KINABALU: Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Komuniti Kadamaian yang julung kalinya diadakan membabitkan 74 kampung, bakal dilancarkan di Padang Dudan, Kampung Piasau, Kota Belud, pada 23 Mac ini.

Majlis itu bakal dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, program 5K itu dijalankan mengambil kira rangka kerja Gerakan Desa Wawasan (GDW) sebagai panduan asas.

Katanya, ia juga satu pelan transformasi daerah Kadamaian secara menyeluruh yang bertujuan membentuk satu komuniti yang mampan dalam pelbagai aspek khususnya dalam 5K.

“Program kelolaan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian itu bertujuan untuk memperkasa 74 kampung luar bandar di kawasan Kadamaian dengan projek sosio-ekonomi bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing penduduk.

“Kita berharap program ini dapat menekankan pembabitan penduduk desa dalam proses perancangan pembangunan untuk meningkatkan kesedaran ke arah kesejahteraan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ewon berkata, bagi mencapai objektif 5K Komuniti Kadamaian, terdapat 12 kriteria yang perlu dibangunkan oleh komuniti sendiri.

“Antaranya dari segi aspek kebersihan dan keceriaan, keagamaan, pendidikan dan kemahiran, ekonomi berasaskan pertanian dan produk ekonomi desa berasaskan komuniti, kepimpinan, keselamatan, infrastruktur, kesihatan dan pembangunan Teknologi Maklumat (IT),” katanya.

Ewon berkata, bagi memastikan keberkesanan program, pihaknya juga akan melihat pula pendekatan atau kaedah yang sesuai untuk digunakan pada tahun seterusnya.

Katanya, sasaran program ini adalah untuk mencapai tujuh teras inisiatif pembangunan luar bandar iaitu pembangunan manusia yang cemerlang, pengukuhan institusi keluarga, pembangunan masyarakat, penyediaan infrastruktur yang berkualiti, pembangunan modal insan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

“Dengan aspirasi pembangunan luar bandar yang jitu dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 dan Luar Bandar Sejahtera pastinya akan mampu melonjakkan lagi komuniti Kadamaian pada satu tahap yang baru,” katanya.

Berita Harian X