Isnin, 18 March 2019 | 2:20pm

Sekolah di Pasir Gudang ditutup hingga Sabtu minggu depan

PASIR GUDANG: Semua 111 sekolah di sini akan terus ditutup sehingga akhir cuti penggal pada Sabtu minggu depan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kimia.

“Kementerian mendapati semua sekolah yang ditutup masih belum boleh dibuka lagi dan tempoh penutupan ini masih berjalan sehingga dimaklumkan nanti.

“Saya berharap semua pihak mengambil maklum tentang keputusan ini dan kementerian akan sentiasa mengemas kini sebarang informasi terbaharu berkaitan isu pencemaran sisa kimia ini,” katanya.

Semua sekolah di Pasir Gudang ditutup sejak Rabu lalu berikutan pencemaran sisa kimia beracun di Sungai Kim Kim hingga sejumlah besar pelajar loya dan muntah.

Berdasarkan takwim Kementerian Pendidikan, semua sekolah dijadual mendapat cuti penggal selama seminggu bermula Jumaat dan Sabtu ini.

Maszlee berkata demikian pada sidang media selepas melawat pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Terdahulu, Maszlee menghadiri taklimat Sekretariat Pengurusan Bencana Johor di Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Pagi tadi, Maszlee turut meluangkan masa melawat pelajar dan guru yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat pencemaran itu.

Ditanya sama ada cuti yang diberikan akan diganti, Maszlee berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian.

“Apa yang penting ialah keselamatan semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah terjamin, sama ada cuti berikutan pencemaran itu perlu diganti atau tidak akan difikirkan kemudian.

“Bagaimanapun, tarikh peperiksaan awam yang sudah ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia kekal dan tidak akan dianjakkan,” katanya.

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada sidang media selepas melawat pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X