Ahad, 17 March 2019 | 3:07pm
MENTERI Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar (kanan) hadir pada majlis perasmian pecah tanah Projek Usahawan Musang King Eco Farm NWC yang turut dihadiri Pengasas NWC, Shahril Azmir Shariff di Kampung Kelatuan, hari ini. - Foto Rafiqah Dahali

Musang King daya tarikan terbaru Papar

PAPAR: Kerajaan Sabah mahu daerah ini dibangunkan sebagai lokasi pelancongan pertanian, termasuk bagi penanaman durian Musang King yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar, berkata Papar khususnya Kampung Kelatuan mempunyai tanah subur dan kedudukannya strategik, selain memiliki pemandangan indah untuk menarik pelancong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, berkata hasrat itu mampu direalisasikan menerusi perancangan syarikat pengusaha tanaman durian Musang King, Neways Century Sdn Bhd (NWC) untuk membina resort mini dan inap desa di kawasan ladang durian.

“Saya akan membincangkan perkara ini bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri untuk membangunkan sektor pelancongan agro di Papar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah Projek Usahawan Musang King Eco Farm NWC yang turut dihadiri Pengasas NWC, Shahril Azmir Shariff di Kampung Kelatuan, di sini, hari ini.

Aidi berharap usaha itu mampu menjadikan Papar antara pengeluar durian Musang King secara besar-besaran di Sabah, sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan untuk belia tempatan.

Sementara itu, Shahril Azmir berkata, setakat ini pihaknya menanam enam pokok durian Musang King di ladang di Kampung Kelatuan dan lebih 400 lagi akan ditanam secara berperingkat di tanah seluas kira-kira lapan hektar.

“Selain Musang King, kami akan menanam durian jenis Udang Merah di ladang ini dengan menggunakan baja organik mesra alam. Walaupun NWC berpangkalan di Shah Alam, kami melihat potensi besar Papar sebagai lokasi terbaik untuk pelancongan agro.

“Ini kerana kedudukannya tidak jauh dari Kota Kinabalu dan pemandangan semula jadinya indah,” katanya.

Berita Harian X