Ahad, 3 March 2019 | 12:10pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick ketika menyertai Program Penuaian Tagal Sungai di Kampung Terintidon, Kota Belud. - Foto ihsan KPLB Sabah
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick ketika menyertai Program Penuaian Tagal Sungai di Kampung Terintidon, Kota Belud. - Foto ihsan KPLB Sabah

Tuai ikan tagal jadi produk pelancongan kampung

KOTA BELUD: Acara menuai ikan di sungai yang melaksanakan sistem tagal dicadang dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai salah satu produk pelancongan kampung masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, mencadangkan semua Jawatankuasa Tagal berbincang dengan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pelancongan kampung masing-masing untuk memasukkan acara itu dalam kalendar pelancongan.

“Acara ini boleh dipromosi melalui pelbagai pentas media. Saya pasti ramai pelancong berminat mengetahui dan mengambil bahagian dalam acara menangkap ikan sungai secara tradisi atau yang dibolehkan oleh jawatankuasa tagal.

“Program ini dapat mempromosikan lagi sistem undang-undang tagal sebagai salah satu bentuk perundangan adat kampung yang boleh memelihara kemampanan ekosistem sungai.

“Pada masa sama, ia turut menjadi produk eko-pelancongan kampung,” katanya selepas merasmikan Program Penuaian Tagal Sungai di Kampung Terintidon di sini, hari ini.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata acara itu bukan saja menjaga ekosistem sungai tetapi dapat menguatkuasakan larangan menebang pokok di sepanjang tebing atau rizab sungai di kawasan kampung masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick (tengah) menunjukkan ikan sungai atau sinsilog hasil tuaian pada Program Penuaian Tagal Sungai di Kampung Terintidon, Kota Belud. - Foto ihsan KPLB Sabah
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick (tengah) menunjukkan ikan sungai atau sinsilog hasil tuaian pada Program Penuaian Tagal Sungai di Kampung Terintidon, Kota Belud. - Foto ihsan KPLB Sabah

“Larangan ini dapat membantu mengelak risiko hakisan tanah selain memastikan kebersihan, keceriaan serta keselamatan di sepanjang sungai dijaga sepenuhnya,” katanya.

Ewon berkata beliau difahamkan eko-pelancongan kampung terbabit sudah merekodkan kehadiran lebih 2,000 pelancong selepas dibuka secara rasmi.

“Saya pasti pelancong juga bersetuju supaya ekosistem sungai dan hutan yang menjadi tarikan utama pelancong ke kampung ini dapat dipelihara dengan baik melalui penguatkuasaan perundangan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat selain pelancong itu sendiri,” katanya.

Tambah Ewon lagi, sebagai ADUN kawasan berkenaan, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur kecil terutama yang menjalankan kegiatan ekonomi seperti di kawasan eko-pelancongan kampung.

“Sebab itu, saya meluluskan beberapa projek kecil menaik taraf membina jalan konkrit menuju ke kawasan eko-pelancongan di beberapa kampung termasuk Kampung Terintidon, Kampung Talungan dan Kampung Malangkap Tomis.

“Saya berharap ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung dan saya akan meneruskan komitmen ini pada tahun yang akan datang,” katanya.

Berita Harian X