Selasa, 26 Februari 2019 | 5:51pm
KETUA Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur, Hoo Ling Lee (tengah) bersama pesakit kanak-kanak yang menghidap sakit jantung memotong kek pada majlis sambutan istimewa anjuran Gleneagles Kuala Lumpur ‘Celebrating Our Heart Heroes’. - NSTP/Rosela Ismail

Media Prima bantu pesakit jantung

KUALA LUMPUR: Seramai 52 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital menjalani rawatan percuma yang dibiayai menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima, hasil sumbangan orang ramai tahun lalu.

Program yang dijalinkan dengan usahasama pakar kardiologi pediatrik Hospital Gleneagles itu membantu golongan kurang bernasib baik yang tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles, Hoo Ling Lee, berkata seramai 25 kanak-kanak yang sudah menjalani pembedahan diraikan dalam program A-Heart for A-Heart sempena Hari Penyakit Jantung Kongenital Sedunia.

Katanya, kakitangan hospital itu berbangga kerana berjaya membantu kanak-kanak menerusi program amal yang dilaksanakan dengan kerjasama kedua-dua pihak.

“Kebanyakan pesakit berdepan dengan masalah kekurangan oksigen dalam darah, aliran darah tersumbat atau lubang dalam hati yang berpunca daripada masalah jantung kongenital.

“Kita menyediakan pelbagai kaedah rawatan secara percuma dan selepas pembedahan dijalankan, masih terdapat pesakit yang memerlukan pemantauan secara berterusan dan perlu mengambil ubat untuk seumur hidup.

“Melalui pembedahan, risiko kematian dapat dikurangkan sekali gus membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, lapan dalam setiap 1,000 bayi yang baru lahir mengalami penyakit jantung kongenital yang membabitkan kecacatan struktur pada jantung atau saluran darah.

Sementara itu, seorang pesakit, Muhammad Ammar, 8 yang sudah menjalani pembedahan jantung tiga tahun lalu, kini semakin aktif dan mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Ibunya, Marina Muhamad,48, berkata dia menyedari anaknya mempunyai masalah jantung sejak Muhammad berusia sebulan, namun pembedahan tidak dapat dijalankan di Kota Bharu ekoran ketiadaan peralatan lengkap.

“Muhammad menerima suntikan vitamin K dan tidak lama kemudian, muka dan tangannya membengkak.

“Kami menyedari ada yang yang tidak kena dan selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, dia dikesan mempunyai masalah jantung. Muhammad kemudiannya dirujuk ke sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ching Jin Sheng, 20, berkata beliau sudah menjalani rawatan sejak berusia empat tahun selepas dikesan menghidap penyakit jantung.

“Saya berjaya sembuh sepenuhnya, namun berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian dan mengurangkan kegiatan fizikal seperti sukan supaya kesihatan tidak terjejas,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5141 0532 3170.

Berita Harian X