Jumaat, 22 Februari 2019 | 3:20pm
Yusof menunjukkan pokok berembang yang ditebang di Kampung Dew. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Yusof menunjukkan pokok berembang yang ditebang di Kampung Dew. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Kerajaan digesa perluas rizab sungai elak pokok berembang ditebang.
Kerajaan digesa perluas rizab sungai elak pokok berembang ditebang.

Kelip-kelip Kampung Dew terancam

TAIPING: Berikutan pemusnahan pokok berembang yang semakin membimbangkan di rizab Sungai Sepetang, Kampung Dew, di sini, kerajaan negeri didesak supaya segera mewartakan sebahagian kawasan rizab sungai itu yang berada di dua daerah sebagai hutan simpan kekal (HSK) bagi mengelak kepupusan kelip-kelip.

Pokok Berembang menjadi habitat kelip-kelip dan kewujudan serangga itu menjadikan kawasan Kampung Dew terkenal bagi pelancong untuk aktiviti melihat keindahan cahaya yang dihasilkan serangga itu.

Bagaimanapun, sejak bulan lalu sekurang-kurangnya 32 pokok Berembang yang menjadi habitat kelip-kelip membiak, ditebang pihak tidak bertanggungjawab.

Kejadian terbaru Sabtu lalu, tujuh pokok berusia antara 30 hingga 35 tahun ditebang dan kejadian itu mengejutkan Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-kelip Kampung Dew dan komuniti nelayan di sini.

Pokok berembang yang ditebang di kawasan Kampung Dew. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Pokok berembang yang ditebang di kawasan Kampung Dew. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pencerobohan haram

Jika mengambil kira kejadian sejak 2013, bilangan pokok ditebang mencecah 90 batang.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew, Syukor Ishak, berkata pewartaan segera kawasan rizab seluas kira-kira 152 hektar di kedua-dua belah tebing sungai itu yang ditadbir pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut, Matang dan Selama serta PDT Kerian, perlu disegerakan kerana sudah beberapa kali kawasan berkenaan diceroboh secara haram dan banyak pokok berembang ditebang dan dimusnahkan.

Beliau berkata, kesan kegiatan itu mengancam habitat asal kelip-kelip Kampung Dew yang terkenal dan menjadi kawasan tumpuan pelancong dan pengkaji, termasuk dari luar negara.

“Dalam kes terbaru 16 Februari lalu, nelayan mengesan tujuh pokok berembang ditebang pihak tidak bertanggungjawab.

Tak halang laluan nelayan

“Berdasarkan pengamatan kami, pokok itu langsung tidak menghalang laluan keluar masuk nelayan dan tidak tumbang dengan sendiri.

Syukor (kiri) bersama penduduk menunjukkan laporan polis berhubung penebangan pokok berembang di Kampung Dew, Taiping. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Syukor (kiri) bersama penduduk menunjukkan laporan polis berhubung penebangan pokok berembang di Kampung Dew, Taiping. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“Kami percaya ia sengaja dilakukan dan berkemungkinan ada unsur sabotaj oleh pihak tertentu.

“Laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan pihak berkaitan menjalankan siasatan,” katanya ditemui di Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew, di sini, semalam.

Syukor berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat lengkap kejadian itu kerana difahamkan ada nelayan dan pemancing didakwa melihat kejadian berkenaan dilakukan oleh beberapa nelayan yang tidak dikenali yang menggunakan sebuah bot besar dan sampan kecil.

“Pihak kami masih mengumpulkan bukti dan maklumat berkaitan dari nelayan dan pemancing yang melihat kejadian itu.

Bimbang kejadian berulang

“Pada masa ini kami sudah membuat laporan polis, selain turut memaklumkan kejadian itu kepada pihak pejabat daerah serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk diambil tindakan,” katanya.

Syukor berkata, pihaknya bimbang jika kejadian itu berulang dan tiada tindakan diambil, populasi kelip-kelip di sini akan berkurangan dan menjejaskan industri pelancongan di Kampung Dew dan Perak.

Berdasarkan maklumat diperolehi BH, kawasan rizab sungai berkenaan adalah tanah milik kerajaan negeri yang ditadbir MDT Larut, Matang dan Selama serta MDT Kerian.

Pokok berembang ditebang pihak tidak bertanggungjawab. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Pokok berembang ditebang pihak tidak bertanggungjawab. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Info

• 7 laporan polis kes pokok berembang ditebang sejak 2013.

• Sekurang-kurangnya 32 pokok ditebang sejak awal tahun ini dan lebih 80 pokok sejak 2013.

• Kes terbaru 7 pokok berusia 30 hingga 35 tahun ditebang termasuk ada yang dihanyutkan ke sungai.

• Kelip-kelip dikenali sebagai kunang-kunang ialah sejenis serangga bersayap yang mengeluarkan cahaya berkelip-kelip pada waktu malam.

• Kita dapat melihat kelip-kelip pada pokok berembang di tepi pantai.

Berita Harian X