Jumaat, 22 Februari 2019 | 12:51pm
Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom mengadakan sidang media mengenai taraf hidup penduduk Pakan di Pakan. - Foto Harun Yahya

Biarlah hasil kajian telus, tiada motif politik - ADUN Pakan

PAKAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah perlu menjelaskan bagaimana mereka menjalankan kajian hingga meletakkan Pakan sebagai daerah termiskin di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata kaedah kajian itu menjadi persoalan kerana realiti sebenar kualiti hidup penduduk di daerah itu dalam keadaan baik.

“Saya bertanya kepada penduduk di sini adakah mereka pernah didatangi kumpulan atau individu untuk melakukan survei mengenai pendapatan mereka. Kesemuanya menyatakan tiada sebarang survei dijalankan di Pakan setakat ini. Jadi, dari mana mereka (kementerian) memperoleh data itu.

“Berkemungkinan mereka mengambil data dari sistem maklumat senarai e-Kasih, yang mana ramai penduduk yang tidak mempunyai penyata gaji akan meletakkan pendapatan mereka serendah yang boleh agar melayakkan mereka mendapat bantuan kerajaan,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini semalam.

Katanya, kenyataan seperti itu seolah-olah menafikan usaha dilaksanakan sebelum ini, termasuk oleh dirinya sebagai wakil rakyat kawasan itu, terutama dalam konteks pembangunan infrastruktur dan sosio-ekonomi.

“Kenyataan seperti itu tidak mendatangkan kebaikan, malah ia akan merendahkan moral penjawat awam yang telah berusaha gigih selama ini untuk membangunkan Pakan.

“Saya tidak menentang sebarang pertambahan dana pembangunan atau program pembangunan ekonomi untuk rakyat diadakan di sini. Namun, kenyataan sedemikian boleh menjatuhkan moral, memalukan dan mengundang cacian masyarakat kepada pegawai kerajaan dan wakil rakyat di sini,” katanya.

Katanya, hasil kajian itu juga dilihat bermotifkan politik kerana boleh menyebabkan masyarakat hilang keyakinan kepada kerajaan negeri yang selama ini telah berusaha membangunkan daerah itu.

“Jika dilihat di Pakan, fasiliti dan kemudahan awam sudah banyak dibina baik dari segi jalan perhubungan, kesihatan dan perkhidmatan agensi kerajaan.

“Kita juga telah berjaya membangun industri lada di daerah ini sehingga menjadi daerah pengeluar lada terbesar di Malaysia. Malah ada di antara pengusaha tanaman lada di sini mampu membeli kenderaan pacuan empat roda secara tunai. Itu realiti dan fakta yang tidak akan muncul jika hanya melihat data di atas kertas sahaja,” katanya.

Justeru, beliau berharap pendekatan lebih holistik, berdasarkan data yang diambil dari lapangan digunakan sekiranya sesebuah kementerian mahu mengeluarkan statistik sedemikian.

Berita Harian X