Ahad, 17 Februari 2019 | 8:23am
MENTERI Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt. - Foto Khairull Azry Bidin

Sabah mahu lahirkan lebih ramai doktor

SANDAKAN: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menggalakkan pelajar cemerlang dari negeri ini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, sekali gus menangani masalah kekurangan doktor terutama pergigian di negeri ini.

Menterinya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, berkata nisbah semasa di Sabah menunjukkan seorang doktor gigi perlu menjaga 12,800 pesakit, berbanding di Semenanjung seorang doktor gigi untuk 500 hingga 600 pesakit.

Katanya, jurang besar itu menunjukkan keperluan mencari langkah lebih berkesan termasuk memudahkan pemberian biasiswa terhadap pelajar cemerlang yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, selain menyediakan geran bagi mereka bekerja dengan kerajaan apabila tamat pengajian.

“Nisbah doktor di Sabah juga sama iaitu seorang seorang untuk 1,200 pesakit, namun di Semenanjung cuma 600 pesakit.

“Antara faktor wujud jurang begitu besar ialah kita di Sabah kurang doktor, ramai dari Semenanjung dan mereka (bekerja di Sabah) cuma dua tahun,” katanya ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sandakan di sini, malam tadi.

Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun.

Tien Fatt yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata, kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mencari langkah menangani kekurangan doktor gigi di negeri ini.

Katanya, ia termasuk menambah lebih ramai doktor gigi dan doktor pakar di negeri ini, selain memastikan doktor dari Semenanjung bekerja lebih lama di Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Tien Fatt berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan jangkitan rabies kerana tiada laporan mengenai wabak berkenaan menular ke negeri ini.

“Dua bulan lalu kita difahamkan wabak dikesan sudah berhampiran Lawas (Sarawak). Ia menimbulkan ketakutan dan kita merancang memberi suntikan dan vaksin terhadap anjing berhampiran Lawas.

“Kita bersyukur ia belum memasuki Sabah dan buat masa ini, keadaan di sini selamat,” katanya.

Berita Harian X