Sabtu, 16 Februari 2019 | 2:32pm
KHAIRUL Mizan Mohamad dan Suriati Mohd Yusof pada majlis perkahwinan beramai-ramai di Masjid Sultan Ahmad, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat
KHAIRUL Mizan Mohamad dan Suriati Mohd Yusof pada majlis perkahwinan beramai-ramai di Masjid Sultan Ahmad, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Jodoh selepas 20 tahun terpisah

KUANTAN: Kalau sudah jodoh tidak ke mana.

Kesetiaan Khairul Mizan Mohamad, 44, menunggu 20 tahun untuk menikahi Suriati Mohd Yusof, 46, akhirnya menjadi kenyataan.

Hari ini, mereka bersama 24 pasangan lain dinikahkan pada majlis perkahwinan beramai-ramai di Masjid Sultan Ahmad, di sini.

Suriati yang juga ibu tunggal dua anak berusia 10 dan 15 tahun, berkata mereka berkenalan pada 1999, namun hubungan cinta terhenti selepas beliau berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.

Jurujual produk kecantikan berasal dari FELDA Chini Timur Tiga, Pekan itu yang bergelar ibu tunggal sejak lapan tahun lalu, tidak menyangka bertemu semula Khairul Mizan, lima bulan lalu menerusi media sosial.

“Mungkin jodoh saya dengan dia memang kuat. Saya seolah bermimpi dan tidak percaya apabila selepas lebih 20 tahun terpisah akhirnya saya dan Khairul Mizan disatukan dalam majlis yang begitu meriah dan bermakna hari ini.

“Saya terharu dengan keikhlasan hati suami yang sanggup menerima saya walaupun berstatus ibu tunggal. Dia bukan sahaja begitu setia, tetapi kesabarannya juga kuat, selain ikhlas dalam percintaan.

“Dia sanggup menunggu begitu lama tanpa rasa jemu serta berputus asa. Takdir menentukan segalanya, kami bersyukur selepas 20 tahun terpisah, kami dinikahkan hari ini,” katanya.

Program majlis perkahwinan beramai-ramai itu anjuran Nazz Boutique & Bridal House dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP).

Suriati juga berharap perkahwinan kali keduanya dengan pembantu kedai makan berkenaan kekal bahagia sehingga akhir hayat.

Kadi Kuantan,Abdul Mohd Zaki Md Zin yang menikahkan semua pasangan pada majlis berkenaan, berkata program kahwin beramai-ramai itu dapat membantu pasangan mendirikan rumah tangga tanpa perlu mengeluarkan belanja besar yang membebankan.

Beliau berkata, setiap pasangan hanya perlu membayar RM3,000 kepada penganjur yang menyediakan semua kelengkapan seperti pakaian dan jamuan untuk ahli keluarga di Dewan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini.

“Program berkenaan perlu diteruskan setiap tahun bagi membantu pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan sedia memberi bantuan.

“Kemudahan disediakan penganjur memuaskan dan majlis tambah berseri dengan kehadiran ahli keluarga pengantin,” katanya.

Berita Harian X