Rabu, 13 Februari 2019 | 4:18pm
Tiong Sii memberikan angpau kepada tetamu yang hadir ke majlis rumah terbukanya sempena Tahun Baharu Cina, di Sarikei, hari ini. - NSTP/Harun Yahya

Jalan Sarikei - Tanjung Manis dibina tahun ini

SARIKEI: Pembinaan jalan menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis yang dibiayai sendiri oleh kerajaan Sarawak akan dibina tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, proses tender projek itu akan diadakan dalam masa terdekat.

“Projek ini ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri sendiri, ia sebenarnya sudah lama ditunggu oleh penduduk di Sarikei. Saya sudah berkali-kali menyuarakan permohonan pembinaan jalan ini.

“Ia termasuklah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Jalan baharu ini tentunya memberi manfaat yang sangat besar kepada penduduk Sarikei dan kawasan sekitarnya,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya sempena Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.

Katanya, projek itu merangkumi pembinaan jalan di kawasan Sungai Pasi Meradong menuju ke Tanjung Manis sejauh 17 kilometer dan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 1.2 kilometer.

“Sebelum ini jika penduduk Sarikei mahu ke Tanjung Manis, mereka terpaksa melalui perjalanan lebih dua jam iaitu merentasi Sibu sebelum menuju ke Tanjung Manis.

“Ia dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Selepas siap nanti, penduduk hanya memerlukan tempoh kurang setengah jam untuk ke Tanjung Manis,” katanya.

Beliau berkata, projek itu jelas memperlihatkan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang amat mementingkan kehendak dan keperluan rakyat.

“Ini hadiah terbesar kita kepada penduduk di Sarikei sejak tiga tahun menjadi ADUN di sini. Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan dana untuk projek besar ini,” katanya.

Berita Harian X