Jumaat, 1 Februari 2019 | 9:23pm
Pameran pemerintahan beraja di Galeri Prima mulai esok sehingga 20 Februari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim
Petugas menggantung potret di Galeri Prima Balai Berita NSTP, Bangsar. - NSTP/Salhani Ibrahim

Pameran pemerintahan beraja di Galeri Prima

KUALA LUMPUR: Sorotan sejarah pemerintahan beraja di negara ini yang tersirat makna dan kisah tersendiri akan dipaparkan di Galeri Prima Balai Berita Bangsar, di sini untuk tatapan umum mulai esok sehingga 20 Februari ini.

Pengurus Galeri Prima, Azlin Aziz, berkata sebanyak 81 gambar dan salinan artikel mengenai pemerintahan beraja, termasuk potret Yang di-Pertuan Agong pertama ditabalkan pada 4 September 1957 akan ‘disajikan’ kepada pengunjung.

Katanya, penganjuran pameran sempena cuti persekolahan panjang selama seminggu itu dijangka dimanfaatkan orang ramai untuk menghayati keindahan dan keunikan sistem pemerintahan beraja yang mempunyai pesona melangkaui zaman.

“Semua gambar ini hasil bidikan jurugambar kita dan ia dipamerkan menerusi cetakan atas kanvas pelbagai saiz, malah ruang pameran dua tingkat yang memuatkan semua koleksi berkenaan mempunyai kisah tersendiri.

“Pengunjung berupaya menyelami, menghayati dan menimba pengetahuan mengenai susur galur pemerintahan beraja yang sering kali digambarkan sebagai dekat di hati rakyat,” katanya ketika meninjau persiapan akhir, hari ini.

Galeri akan dibuka setiap hari, kecuali cuti umum, mulai jam 10 pagi hingga jam 6 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala hujung minggu ialah antara jam 10 pagi hingga 5 petang. Kemasukan pengunjung untuk melawat pameran berkenaan adalah percuma.


Sorotan sejarah pemerintahan beraja di negara ini akan dipaparkan di Galeri Prima Balai Berita Bangsar. - NSTP/Salhani Ibrahim

Sebanyak 81 gambar dan salinan artikel mengenai pemerintahan beraja akan ‘disajikan’ kepada pengunjung. - NSTP/Salhani Ibrahim

Azlin berkata, antara gambar dipaparkan di galeri dekat Jalan Riong, Bangsar itu ialah sepanjang perjalanan istiadat mengangkat sumpah jawatan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, semalam.

“Paling menarik ialah ada sesetengah gambar hasil bidikan kamera yang dipamerkan itu tidak pernah disiarkan untuk tatapan umum, namun ditempatkan di galeri ini sepanjang pameran berlangsung.

“Kita juga menjual koleksi gambar yang dipamerkan kepada sesiapa yang ingin memilikinya untuk tujuan peribadi, termasuk pengumpul hasil seni, dengan menghubungi kakitangan Galeri Prima.

“Sebenarnya kita mempunyai ribuan simpanan gambar pemerintahan beraja dalam arkib, namun tidak dapat ditayangkan kepada umum secara fizikal kerana kekangan ruang pameran,” katanya.

Sehubungan itu, Azlin berkata Galeri Prima menempatkan stesen arkib gambar dengan menyediakan komputer supaya pengunjung boleh menghayati koleksi mengikut cita rasa dan pilihan peribadi.

Beliau berkata, perkhidmatan sedemikian lazimnya dikenakan bayaran, namun diberikan pengecualian sepanjang penganjuran pameran berkenaan bagi memastikan penghayatan terhadap koleksi gambar pemerintahan beraja berupaya menepati jangkaan pengunjung.

Berita Harian X