Isnin, 28 Januari 2019 | 11:31am
ADLY Zahari (dua dari kiri) menyampaikan ang pau kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi St David sambil diperhatikan oleh Pengetua, Dr M M Ravindran (kiri) di Bukit Baru. - NSTP/Khairunisah Lokman
ADLY Zahari (dua dari kiri) menyampaikan ang pau kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi St David sambil diperhatikan oleh Pengetua, Dr M M Ravindran (kiri) di Bukit Baru. - NSTP/Khairunisah Lokman

Tarif air: Berita gembira buat rakyat Melaka

MELAKA: Rakyat di negeri ini bakal menerima berita gembira berhubung kadar tarif air yang akan diumumkan oleh kerajaan negeri, pada Mac depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu sehingga ia diumumkan kelak.

“Ada berita gembira untuk rakyat Melaka dan kita akan umumkan bulan tiga (Mac) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan ang pau kepada 1,500 penerima membabitkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi St David, Bukit Baru, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri sedang mempertimbang dua kaedah menangani kadar kenaikan tarif air yang dijangka berlaku tahun ini tanpa membebankan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Dua kaedah itu ialah memberikan insentif kepada kumpulan B40 dan menawarkan formula insentif kepada isi rumah yang menunjukkan penjimatan dalam menggunakan sumber air.

Perkara berkenaan kini sedang dibincangkan bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Terdahulu, Adly turut melawat tapak pembinaan dewan sekolah terbabit dengan kos keseluruhan dianggarkan RM700,000 dan memerlukan RM150,000 lagi untuk tujuan itu.

Yang turut hadir, Pengarah Kewangan Syarikat Xinyi Energy Smart, Datuk Sin Ket Hin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Lim Choe Beng dan Pemangku Pengetua SMK Tinggi St David, Dr M M Ravindran.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan membantu sekolah mendapatkan dana bagi pembinaan dewan berkenaan.

“Pihak sekolah masih kekurangan dari segi peruntukan, namun saya yakin mampu mendapat sumbangan melalui kerjasama ini,” katanya.

Berita Harian X