Isnin, 7 Januari 2019 | 7:36pm
DATUK Seri Farizan Darus. - Foto Ramdzan Masiam
DATUK Seri Farizan Darus. - Foto Ramdzan Masiam

Kes rasuah babitkan penjawat awam di PP membimbangkan

GEORGETOWN: Jumlah kes rasuah membabitkan penjawat awam di Pulau Pinang membimbangkan dengan 10 kesalahan direkodkan setiap bulan sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus, berkata berikutan itu pihaknya akan terus berusaha meningkatkan tahap kesedaran untuk memastikan statistik penjawat awam di Pulau Pinang yang terbabit dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung pada masa depan.

“Berdasarkan statistik kesalahan rasuah di Pulau Pinang pada tahun lalu, 115 kes direkodkan membabitkan kesalahan terima rasuah, tuntutan palsu, menyalahgunakan jawatan atau kedudukan dan pelbagai lagi, ia jumlah yang membimbangkan.

“Manakala bagi kesalahan tatatertib, sebanyak 44 kes membabitkan kesalahan tidak hadir bertugas, lewat ke pejabat, tidak mengetip kad perakam waktu, pengambilan dadah dan mengemukakan sijil sakit palsu di rekodkan tahun lalu,” katanya semasa berucap sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Katanya beliau berharap kes rasuah, salah guna kuasa dan perlanggaran peraturan tatatertib dapat dikurangkan sehingga 40 peratus pada tahun ini dan ketua-ketua jabatan di minta menyelaraskan semua proses serta prosedur kerja supaya lebih telus dan lebih cekap untuk dilaksanakan.

Farizan berkata pencegahan awal juga perlu dilakukan iaitu dengan mengkaji semula prosedur operasi standard sedia ada setiap tugasan supaya dihapuskan ruang untuk penjawat awam melakukan kesalahan salah guna kuasa atau rasuah.

Katanya, kewujudan sistem dan prosedur yang mantap serta menghapuskan atau mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan juga boleh mengelak berlakunya rasuah.

“Saya akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengesan, mencari dan menangkap penjawat-penjawat awam yang melakukan kesalahan rasuah dalam memastikan penjawat awam Pulau Pinang bersih daripada gejala berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keadaan ekonomi dunia dan negara yang tidak menentu menjadikan peruntukan kewangan agak ketat dan memerlukan pengurusan perbelanjaan yang lebih cekap serta berhemah.

“Pihak pengurusan perlu lebih teliti, cekap, mempunyai integriti yang tinggi, mengamalkan prinsip ‘best value for money’ (nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan) ” serta memastikan pembelian bukan saja berbaloi tetapi adalah pemilihan terbaik kepada kerajaan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X