Isnin, 7 Januari 2019 | 7:09pm
Perintah larangan merokok yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu. - NSTP/Faiz Anuar

1,803 notis amaran kesalahan merokok dikeluarkan di Selangor

SHAH ALAM: Kurang pemahaman terhadap perintah larangan merokok yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu menyaksikan sejumlah 1,803 notis amaran dikeluarkan kepada perokok di Selangor sepanjang minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata ramai perokok kurang pendidikan apabila membabitkan arahan mereka hanya boleh merokok sejauh tiga meter dari premis makanan.

“Kebanyakan perokok silap tafsir maksud tiga meter itu. Mereka ingat ia tiga meter dari tepi kedai walaupun ada meja dan kerusi diletakkan di luar kedai oleh pemiliknya. Ia berlaku, misalnya di kedai mamak, terutama pada waktu malam.

“Notis peringatan dikeluarkan kepada perokok dan pemilik premis. Kami juga mengesan seramai 47 individu yang merokok di dalam premis,” katanya.

Khalid berkata, pada minggu pertama operasi penguatkuasaan pendidikan yang dijalankan penguatkuasa jabatan itu, membabitkan 539 anggota yang melawat sebanyak 4,359 premis makanan di seluruh negeri itu.

Sebanyak 1,756 premis dikesan tidak menaikkan poster larangan merokok dan pemilik perniagaan diberikan tempoh sehingga 30 Jun ini untuk berbuat demikian.

Khalid berkata, pihaknya mensasarkan untuk melawat majoriti daripada kira-kira 70,000 premis makanan yang beroperasi di seluruh Selangor.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk melawat 75 peratus daripadanya dalam tempoh enam bulan penguatkuasaan pendidikan ini. Setakat ini, sebanyak 10,899 risalah sudah diedarkan untuk meningkatkan kesedaran. Maklum balas daripada pemilik kedai dan orang awam sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Rosliza Junoh, yang memiliki Restoran Kedai Nasi JJ di Taman TTDI Jaya, di sini, berkata pelanggannya menyedari arahan berkenaan dan mematuhinya.

Katanya, beliau mengeluarkan hampir RM100 untuk memasang poster dan pelekat larangan merokok di kedainya, yang menjual nasi ekonomi, untuk memberi amaran kepada pelanggan mengenai larangan itu.

Rosliza berkata, beliau tidak kisah berusaha lebih meletakkan poster larangan merokok.

“Saya tidak mahu pelanggan dan saya sendiri berdepan risiko dikenakan saman. Pelanggan saya boleh didenda jika merokok di kedai saya dan saya juga boleh dikenakan tindakan sama jika tidak menghalangnya. Kerjasama dua pihak dan saya sangat menghargai kerjasama mereka.

“Larangan merokok ini juga memberikan manfaat kepada saya. Kedai saya kini lebih bersih dan tidak ada lagi puntung rokok atau habuk di atas lantai.

“Udara pun lebih segar di dalam kedai dan ini bagus untuk pelanggan kerana anak kecil mereka serta ibu mengandung tidak terdedah kepada asap rokok,” katanya.

Pada masa sama, katanya, larangan merokok itu juga mengurangkan waktu menunggu pelanggannya terutama pada waktu makan tengah hari.

“Perokok akan terus beredar selepas makan dan berjalan ke seberang jalan untuk merokok. Mereka tidak lagi melepak lama dalam kedai saya, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan lain,” katanya.

Larangan berkenaan diwartakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Kementerian Kesihatan sudah memulakan tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan dan mana-mana individu yang melanggar larangan itu selepas tempoh berkenaan berdepan denda RM10,000, manakala premis makanan yang gagal menguatkuasakannya akan didenda sebanyak RM2,500.

Berita Harian X