Khamis, 3 Januari 2019 | 1:01pm
SHAARI Ngadiman. - NSTP/Nazirul Roselan

350 penguatkuasa Jabatan Kesihatan Pahang pantau larangan merokok

KUANTAN: Seramai 350 pegawai penguatkuasa Jabatan Kesihatan Pahang akan melaksanakan penguatkuasaan pendidikan dengan memberikan teguran dan nasihat selama enam bulan, jika mengesan pelanggaran perintah larangan merokok di premis makanan.

Pengarah JKN Pahang, Dr Shaari Ngadiman, berkata penguatkuasa pendidikan ini bermakna pegawai JKN pahangakan menjalankan rondaan di premis makanan di negeri ini secara berperingkat dan akan memberi teguran serta nasihat sekiranya berlaku kesalahan berkenaan sehingga 30 Jun ibu.

“Penguatkuasaan pendidikan ini mengikut beberapa peringkat iaitu bermula 1 Januari lalu hingga 14 Januari ini dijalankan setiap hari manakala pada 15 hingga 31 Januari akan dilakukan dua kali seminggu.

“Bermula 1 Februari hingga 31 Mac 2019 pula, penguatkuasaan pendidikan ini akan dilakukan sekali seminggu sebelum diadakan dua kali sebulan iaitu bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2019,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan penuh terhadap perokok yang melanggar peraturan akan dilakukan bermula Julai ini.

“Jika ada berlaku pelanggaran peraturan maka kita akan mengambil tindakan terhadap perokok dan juga pemilik restoran menerusi notis kompaun selepas tempoh penguatkuasaan pendidikan tamat,” katanya.

Pada Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, food truck dan restoran di atas kapal dan keretapi di seluruh negara berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Bagi kawasan larangan merokok mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 tindakan penguatkuasaan ialah mengenakan kompaun RM250 terhadap mereka yang didapati merokok di tempat larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Pemilik premis pula boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

Berita Harian X